Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
127 ditahan tak pakai pelitup muka - Ismail Sabri
Diterbitkan:  Aug 2, 2020 3:31 PM
Dikemaskini: 7:58 AM

KORONAVIRUS | Pihak berkuasa menahan 127 orang kerana tidak memakai pelitup muka semalam yang merupakan hari pertama peraturan mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan pengangkutan awam dan tempat-tempat awam yang sesak.

Menteri Kanan (kluster keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, PDRM menahan 315 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) semalam.

Daripada jumlah itu, seramai tiga individu direman manakala 312 individu pula dikenakan kompaun.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti yang tidak mengikuti SOP (38), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (150) dan tidak memakai pelitup muka (127)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bermula semalam, kerajaan mewajibkan orang ramai untuk memakai pelitup muka di kawasan sesak, dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Orang ramai boleh dikompaun RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaru itu. 

Sementara itu, Ismail berkata, PDRM bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan 2,263 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.

"Semalam, PDRM telah mengambil tindakan terhadap 28 individu kerana gagal mematuhi SOP kuarantin di kediaman yang ditetapkan," katanya.

Menurut Ismail lagi, sejak 24 Julai sehingga 1 Ogos lalu seramai 4,286 prang pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 16 Hotel dan lima institut latihan awam (ILA).

"Daripada jumlah itu, seramai 13 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan," katanya.

Sementara itu sebanyak 3,226 pasukan pematuhan yang melibatkan 14,327 anggota membuat pemantauan di 3,821 pasar raya, 5,545 restoran serta 1,954 penjaja, 1,326 kilang, 3,602 bank dan 820 pejabat kerajaan.

"Juga dipantau, sebanyak 1,132 terminal pengangkutan darat, 138 terminal pengangkutan air serta 40 terminal pengangkutan udara.

"PDRM telah membuat 64 sekatan jalan raya melalui Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 35,459 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) terutamanya di laluan tikus," katanya.

Tambah Ismail, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula melakukan sebanyak 10 operasi sanitasi meliputi sembilan zon termasuk satu zon kuning dan satu zon merah di tiga negeri iaitu Sabah (enam operasi), Sarawak (tiga operasi) dan Johor (satu operasi).

Katanya, operasi sanitasi ini melibatkan 28 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta 90 anggota pihak berkuasa tempatan. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS