Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu minta 45 kerusi - Umno kata jangan mimpi
Diterbitkan:  Aug 1, 2020 5:13 PM
Dikemaskini: 9:52 AM

Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan menasihatkan Pengerusi Bersatu Sabah Hajiji Noor supaya “jangan bermimpi” susulan selepas menyatakan hasrat partinya untuk bertanding 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

“Dua perkataan: Jangan mimpi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Secara sinis, Shahril berkata cadangannya kepada Bersatu Sabah, ialah jika hendak bersahabat dengan Umno, buat cara bersahabat.

“Kita boleh berbincang. Kita boleh berunding.

"Umno Sabah punyai autonomi menentukan hal calon dan kerusi yang ditandingi. Tetapi kalau sebelum berunding pun Bersatu sudah ghairah mengiklan hasrat bertanding 45 kerusi.

"Itu bukan langkah berlandaskan kebijaksanaan atau keikhlasan," katanya.

Hajiji dalam satu kenyataan awal hari ini, berkata, bahawa parti itu akan bertanding di 45 kerusi daripada jumlah 73 kerusi DUN yang dipertandingankan dalam PRN akan datang.

Dia yang juga Adun Sulaman berkata bahawa Bersatu Sabah akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi memperhalusi persiapan jentera pilihan raya parti di setiap kawasan DUN Sabah.

Bagaimanapun katanya, Bersatu Sabah bersedia berbincang dengan parti-parti dalam komponen PN, Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN Sabah, demi mengumpul kekuatan untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

Ketika ini, Umno Sabah memiliki hanya satu daripada 17 kerusi DUN yang dimenangi pada PRU14 selepas 16 Adunnya, termasuk Hajiji meninggalkan parti itu dan menyertai parti gabungan kerajaan Warisan dan Bersatu.

Kerusi DUN tunggal Umno disandang Musa Aman yang mewakili DUN Sungai Sibuga.

Shahril dalam kenyataannya turut menasihatkan Bersatu Sabah supaya menghormati proses perundingan.

"Untuk Bersatu Sabah, dalam senario politik mutakhir, berfikirlah dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan atau bertindak.

"Kerana setiap tindakan itu akan memberi kesan sampai ke akar umbi, dan tidak terhad ke Sabah sahaja," katanya.

Beliau turut menyatakan harapan terhadap Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin akan bijak menguruskan landskap terbaru di politik Sabah.

"Saya yakin Bung Moktar dan pasukan Umno Sabah bijak mengurus lanskap terbaru ini.

"Keutamaan pertama adalah memperkasa agenda rakyat di Sabah disamping memperjuang maruah Umno Sabah yang terus diangkat berasaskan kesetiaan pemimpin dan ahlinya yang setia, tatkala ramai lain memilih jalan mudah dahulu," katanya.

PRN Sabah bakal diadakan selepas DUN semasa dibubarkan.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal pada Khamis lalu, beberapa jam selepas Musa mendakwa blok pembangkang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baru.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS