Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan belanja RM18,000 untuk setiap pesakit kritikal Covid-19
Diterbitkan:  Aug 1, 2020 2:33 PM
Dikemaskini: 6:33 AM

Anggaran kos untuk merawat pesakit Covid-19 yang kritikal selama 21 hari di hospital adalah RM18,270, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dalam jawapan parlimen.

Adham menjelaskan bahawa purata kos rawatan untuk pesakit Covid-19 Tahap Empat dan Tahap Lima adalah RM870 sehari.

Tahap Empat merujuk kepada pesakit dengan radang paru-paru yang memerlukan bantuan oksigen.

Pesakit kritikal dengan penglibatan multiorgan dan mungkin memerlukan ventilator.

Jelas Adham, Sehingga 25 Julai, sejumlah 189 (65.2 peratus) daripada 290 pesakit kritikal dianggap telah pulih dari Covid-19 dan keluar hospital.

"Outcome (keadaan) pesakit dipengaruhi oleh faktor usia, penyakit sedia ada termasuk darah tinggi, kencing manis, penyakit jantung dan kegagalan fungsi buah pinggang.

"Outcome pesakit turut dipengaruhi oleh komplikasi Covid-19 seperti pembentukan darah beku di dalam paru paru yang dikenali sebagai Pulmonary Embolism, tindak balas sistem pertahanan tubuh yang keterlaluan (Cytokine Storm) serta kerosakan pada tisu paru-paru yang boleh menyebabkan jangkitan bakteria," katanya sebagai menjawab soalan Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah).

Azman bertanya mengenai protokol rawatan untuk pesakit Tahap Empat dan Lima serta kos rawatan.

Menurut Adham, kerajaan memberikan perkhidmatan perubatan percuma kepada warganegara dan warga asing.

Adham menambah bahawa tidak ada protokol khusus untuk memberikan rawatan kepada pesakit Covid-19 yang kritikal tetapi mereka akan dirawat berdasarkan status klinikal masing-masing.

Pesakit Tahap Empat dan Tahap Lima akan dirawat di unit rawatan intensif (ICU) di mana bantuan pernafasan ventilasi dan non-ventilasi, antivirus, antibiotik, dan imunomodulator akan diberikan kepada mereka, menurut menteri itu.

Sementara itu, Adham mengatakan kementerian diberi peruntukan RM1 bilion secara berperingkat untuk membendung Covid-19 dan telah menghabiskan sekitar RM650 juta pada 10 Julai.

Peruntukan itu ditujukan untuk pembelian peralatan perubatan dan bukan perubatan, kit, ubat-ubatan, dan peralatan pelindung diri (PPE), katanya.

"Kementerian Kesihatan telah melaksanakan perolehan sebanyak 186.5 juta unit PPE untuk kegunaan petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan dengan nilai RM299.4 juta.

"Kaedah perolehan yang digunakan adalah secara perolehan darurat dan menggunakan kontrak sedia ada Kementerian Kesihatan termasuklah konsesi Approved Product Purchased List (APPL) bagi memastikan bekalan diperolehi segera serta menyimpan stockpile yang mencukupi untuk sekurang-kurangnya tempoh tiga bulan.

"Sehingga 17 Julai 2020, daripada RM299.4 juta, Kementerian Kesihatan telah membelanjakan sebanyak RM252.7 juta," katanya.

Adham turut memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan turut menerima sumbangan PPE daripada pelbagai negara, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang berjumlah 14.8 juta unit.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS