Adun Tras dari DAP Chow Yu Hui menjelaskan bahawa beliau tidak pernah sesekali anti tulisan Jawi dan menganggap kritikan dan kecaman yang ditujukan kepadanya hanyalah disebabkan salah faham.
Chow berkata rakan-rakan separtinya kemungkinan “overlooked” (terlepas pandang) kenyataan beliau dan maka timbulnya sedikit kesilapan tafsiran.
“Mungkin saudara-saudari parti saya overlooked, saya bukannya anti-Jawi, mungkin mereka tidak perasan pendirian ini.
“Walau bagaimanapun, saya hormat pandangan mereka dan kebebasan bersuara.
“Saya juga yakin bahawa rakan separti saya adalah pendukung prinsip sosialisme demokratik iaitu ideologi asal DAP,” kata Chow ketika dihubungi oleh Malaysiakini.
Adun Pahang itu pada hantaran di media sosial turut menjelaskan tindakannya memfailkan permohonan mahkamah untuk mencabar ketetapan kerajaan Pahang yang mewajibkan tulisan Jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan.
“Saya tegaskan bahawa saya menghormati Jawi sebagai tulisan warisan, tapi saya berpendirian bahawa, kerajaan negeri tidak patut mewajibkan tulisan Jawi pada papan tanda peniaga dan NGO tetapi sepatutnya menggalakkan penggunaan tulisan Jawi di kalangan masyarakat,” kata Chow.
BACA BERKAITAN: Remeh-temeh, kata Pemuda DAP ulas isu Jawi di papan tanda
Menurutnya lagi, setiap kedai peniaga dan badan NGO mempunyai kumpulan sasaran masing-masing dan tiada keperluan bagi restoran tidak halal dan kedai barangan sembahyang untuk meletakkan tulisan jawi di atas papan tanda.
“Kumpulan sasaran mereka adalah bukan Melayu yang tidak fahami tulisan jawi, tiada keperluan untuk meletak tulisan jawi.
“Manakala, bagi kedai yang mempunyai kumpulan sasaran yang memahami tulisan jawi, tiada orang akan membantah kedainya letak tulisan jawi. Ini adalah hak kebebasan untuk mengguna jawi,” tambahnya.
Chow selanjutnya menjelaskan tindakan memfailkan permohonan di mahkamah itu bertujuan supaya kerajaan negeri dapat lebih inklusif terhadap premis perniagaan dan NGO untuk memilih.
“Saya juga pernah membangkitkan isu ini di Dewan Undangan Negeri tahun lepas. Saya harap kerajaan negeri boleh pertimbangkan hal ini dengan tidak mewajibkan penggunaan tulis Jawi di papan tanda setiap peniaga, tetapi dengan galakan untuk mempromosi tulisan warisan ini,” katanya.