Adun Tras dari DAP Chow Yu Hui memfailkan permohonan untuk mencabar ketetapan kerajaan Pahang untuk mewajibkan tulisan jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di negeri itu.
Dalam kenyataan hari ini, Chow berkata permohonan itu difailkan semalam oleh peguamnya, M Manogaran, Jonathan and Chong Kar Yan di Mahkamah Tinggi Kuantan.
Katanya, permohonan itu untuk mahkamah menyemak semula arahan yang dikeluarkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.
"Kerajaan Pahang dan kerajaan tempatan tidak harus memaksa orang ramai, terutama pemilik perniagaa, NGO atau mana-mana pihak untuk menyertakan tulisan jawi di papan tanda mereka.
"Ini menafikan kebebasan mereka untuk membuat pilihan. Setiap pihak ada khalayak sasaran sendiri. Misalnya, pelanggan di restoran Cina atau kedai barangan agama Buddha/Taoisme adalah orang bukan Melayu yang tidak boleh membaca jawi. Jadi apa perlunya menyertakan tulisannya (di papan tanda)?" soalnya.
Majlis Daerah Raub dinamakan sebagai responden pertama dan kerajaan Pahang sebagai responden kedua.
Hakim Zainal Azman Ab Aziz menetapkan 28 Ogos untuk membut keputusan sama ada untuk membenarkan permohonan tersebut atau tidak.
Pada tahun lalu, kerajaan negeri memutuskan semua papan tanda di jalan raya dan premis perniagaan perlu menyertakan tulisan jawi dengan saiz yang sama dengan tulisan Rumi.
Dasar itu dikuatkuasakan sejak 1 Januari 2020 dan tindakan akan dikenakan kepada premis yang tidak berbuat demikian.
Chow berkata, pusat khidmatnya di Sungai Ruan, Tras menerima surat saman daripada Pejabat Daerah Raub pada 9 Januari 2020.
Katanya lagi, promosi terhadap tulisan jawi boleh dilakukan menerusi galakan dan secara sukarela, bukannya secara paksaan
Sementara itu, Setiausaha DAP Pahang Lee Chin Chen turut hadir ke Mahkamah Tinggi Kuantan ketika permohonan dibuat.
"Jawatankuasa DAP Pahang memutuskan untuk membantah dasar ini kerana ia tidak selari dengan prinsip kepelbagaian budaya, selain membebankan pemilik perniagaan," katanya dalam kenyataan.