Langkah lanjutan moratorium tiga bulan kepada golongan bersasar seperti yang diumumkan Muhyiddin Yassin semalam hanyalah penyelesaian sementara untuk masalah yang lebih besar, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Anwar berkata pendekatan yang lebih holisitik perlu dilaksanakan bagi menangani isu pengangguran yang kian meningkat serta masalah kemiskinan.
"Kita telah gariskan bahawa hampir 20 peratus daripada tenaga kerja di Malaysia adalah bekerja sendiri. Semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), kumpulan ini benar-benar terkesan dengan kehilangan pendapatan dengan lebih 90 peratus mengalami pengurangan mendadak dalam pendapatan, dan sekurang-kurangnya 50 peratus kehilangan terus pendapatan.
"Langkah yang diumumkan tidak memastikan manfaat akan diterima oleh yang bekerja sendiri dan di dalam sektor tidak rasmi, terutama yang miskin bandar dan di desa," katanya dalam kenyataan.
Semalam, Muhyiddin antara lain mengumumkan mereka yang hilang kerja pada tahun ini, dan belum mendapat kerja, boleh mendapat lanjutan moratorium selama tiga bulan, selepas ia tamat 30 September ini.
Mereka yang dipotong gaji pula boleh mendapatkan pengurangan kadar bayaran bulanan pinjaman, bergantung kepada kadar pemotongan gaji dan jenis pinjaman.
Selain itu, terdapat juga beberapa pendekatan lain, misalnya pembayaran faedah sahaja dan memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman, yang boleh dibincangkan antara peminjam individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan pihak bank.
Baca: Moratorium tamat: Apa boleh dilakukan lepas 30 Sept
Anwar mengakui langkah yang diumumkan semalam untuk mereka yang kesempitan, terutama yang hilang kerja dan punca pendapatan akibat Covid-19.
Bagaimanapun beliau membangkitkan langkah tersebut bergantung kepada permohonan yang dibuat peminjam kepada bank, justeru tidak menjamin ia akan diluluskan secara automatik.
"Bank pula akan menggunakan budi bicara dalam menentukan siapa layak atau tidak layak untuk penangguhan pinjaman," katanya lagi.
Justeru, beliau menggesa kerajaan bersikap telus dan bertanggungjawab dalam memastikan langkah yang diumumkan benar-benar dapat dimanfaatkan mereka yang memerlukan.
"Saya gesa kerajaan memberi keutamaan dalam membangunkan penyelesaian yang tuntas kepada masalah pengangguran, kemiskinan dan jurang pendapatan yang melebar, mewujudkan program keselamatan sosial yang mampan bagi mendukung kumpulan masyarakat yang miskin sementara ekonomi untuk pulih.
"...Dan turut menyediakan lebih banyak bantuan kepada rakyat dan pengusaha PKS yang kini sedang bergelut dengan masalah kewangan ketika wabak Covid-19," katanya lagi.