story images
story images
mk-logo
Berita
Shahidan: Umno tak bincang keluar PN dalam pertemuan tertutup
Diterbitkan:  Jul 29, 2020 8:40 PM
Dikemaskini: 12:41 PM

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen PN (PNBBC), Shahidan Kassim menafikan dakwaan bahawa Umno telah berbincang untuk keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) dalam satu pertemuan bersama perdana menteri hari ini.

Sebaliknya beliau berkata pertemuan tertutup itu hanya membincangkan isu untuk memperkukuhkan PN dan perihal Dewan Rakyat.

Beliau juga menyifatkan dakwaan itu berniat jahat dan pembohongan pihak tidak bertanggungjawab.

"Tiada perbincangan berkenaan perkara itu dibangkitkan. Jika betul ada dakwaan sedemikian, ia sepatutnya dibincangkan dalam platform antara Presiden parti sahaja dan bukan bersama Ahli Parlimen.

"Saya tidak tahu dari mana wujudnya dakwaan ini. Umno yang sama-sama menubuhkan kerajaan, takkan kita hendak keluar daripada PN. Tiada sebab untuk Umno keluar daripada PN.

"Kami membincangkan bagaimana untuk memperkukuh parlimen, selain menyatakan sokongan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri," katanya kepada BH Online, hari ini.

Laporan itu menyebut pertemuan tertutup itu diketuai Pengerusi BN yang juga Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan berlangsung selama sejam di bangunan parlimen, jam 1 tengah hari tadi.

Shahidan, yang juga anggota parlimen Arau turut menjelaskan tiada perbincangan mengenai kedudukan bekas Perdana Menteri, Najib Razak dibangkitkan dalam pertemuan berkenaan.

"Ini adalah pertemuan biasa yang saya aturkan antara ahli parlimen BN bersama Muhyiddin, dari semasa ke semasa.

"Kita juga tidak membincangkan sesuatu perkara secara spesifik. Pertemuan bersama Muhyiddin dilakukan secara berkala dari semasa ke semasa," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS