Bekas pemandu Uber, Lam Chang Nam akan menarik balik permohonan pembebasan terhadap dua tuduhan yang dikaitkan dengan kehilangan Pastor Koh, kata peguamnya.
Peguam Aaron Mark Pius berkata, ini kerana Lam hari ini didakwa semula atas kesalahan memeras dan menculik, di mana tertuduh sebelum ini telah dibebaskan tanpa dilepaskan.
Mark memberitahu Malaysiakini yang anak guamnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya sekitar tengah hari ini untuk didakwa semula dengan kesalahan sama.
Sebelum ini pada 20 Julai, Malaysiakini melaporkan Lam berdepan kemungkinan didakwa semula berkaitan dua tuduhan - memeras dan menculik- yang dikaitkan dengan pastor yang masih hilang itu.
Sebelum ini dilaporkan bahawa Mahkamah Majistret Petaling Jaya telah melepas tanpa membebaskan Lam atas kedua-dua pertuduhan berkenaan.
Turut dilaporkan yang Lam telah memfailkan permohonan semakan semula bagi mendapat pembebasan penuh terhadap dua tuduhan itu, berbanding DNAA.
Mark berkata, Lam minta dibicarakan untuk pertuduhan sama, di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim, manakala pendakwaan akan dilakukan oleh timbalan pendakwa raya P Vitiya Monisha.
Peguam itu menjelaskan bahawa tuduhan memeras dan menculik mengandungi fakta yang sama ketika Lam dituduh dahulu.
“Kedua-dua pertuduhan dibacakan kepada tertuduh di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim, dan dia (Lam) minta dibicarakan.
“Tertuduh didakwa dengan set kesalahan yang sama di bawah Seksyen 365 dan 385 Kanun Keseksaan,” kata Mark.
Seksyen 365 adalah berkenaan kesalahan menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya dengan sulit dan dengan salah.
Seksyen 385 pula berkaitan kesalahan mendatangkan kepada seseorang ketakutan bencana dengan tujuan hendak melakukan pemerasan.
Mark berkata, mahkamah menetapkan ikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 21 September sebagai tarikh sebutan kes.
Peguam itu berkata memandangkan Lam didakwa semula, mereka akan menarik balik permohonan semakan semula Lam terhadap DNAA yang diberikan.
“Kami akan tarik balik permohonan semakan semula di Mahkamah Tinggi (Shah Alam). Ini kerana permohonan itu sudah jadi akademik dan tak lagi berguna (redundant),” kata Mark.
Malaysiakini dalam usaha menghubungi Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung perkara itu.
Pada 15 Mac 2017, dilaporkan Lam didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan memeras RM30,000 dari anak lelaki Koh.
Koh diculik pada 13 Februari tahun itu.
Dilaporkan pada 16 Januari 2018, Lam dituduh di Mahkamah Majistre Petaling Jaya atas tuduhan menculik Koh.
Pada 3 April tahun lepas, panel tiga orang Suhakam merumuskan yang aktivis sosial Amri Che Mat dan Koh, yang hilang pada 2016 dan 2017, adalah mangsa dalam kehilangan paksa.
Panel sebulat suara merumuskan pelaku merupakan ahli Jabatan Khas (SB) dari ibu pejabat polis Bukit Aman.
Pada 13 Februari, dilaporkan yang isteri Koh, Susanna Liew menyaman polis dan kerajaan bagi memaksa mereka mendedahkan keberadaan pastor berkenaan.