Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan belanja RM90 sehari untuk warga asing di depoh
Diterbitkan:  Jul 29, 2020 2:12 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

PARLIMEN | Kerajaan membelanjakan RM90 sehari untuk setiap pendatang asing tanpa izin (Pati), termasuk pelarian Rohingya, di depoh tahanan Imigresen, kata Timbalan Menteri dalam Negeri I Ismail Mohamed Said.

Katanya, jumlah itu merangkumi kos makanan, pakaian dan kesihatan tahanan.

"Walaupun kita adalah negara yang tidak menandatangani Protokol Status Pelarian 1967 tetapi atas sebab perikemanusiaan, apabila mereka tiba di negara kita, kita letakkan di depoh tahanan dan berikan makanan dengan belanja cukup besar, pada kadar RM90 sehari," katanya pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail berkata, meskipun warga asing yang tidak memiliki dokumen dilarang masuk ke negara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan memberikan bantuan makanan dan kesihatan sebelum meminta mereka keluar dari perairan negara.

Dia menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) sama ada kerajaan mahu mengambil pendekatan lain dalam isu berkaitan pelarian Rohingya, susulan laporan etnik itu dikhuatiri lemas di perairan barat Pulau Langkawi kerana tidak dibenarkan masuk ke Malaysia.

Mengikut Akta Imigresen, pelarian dianggap pendatang tanpa izin dan berisiko ditangkap dan dihantar pulang ke negara asal.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan kini akan memberi tumpuan kepada usaha menghantar pulang semua pati dan pelarian di pusat tahanan Imigresen yang telah disahkan tidak dijangkiti Covid-19.

Sementara itu, Ismail yang juga Anggota Parlimen Kuala Krau berkata kerajaan juga telah melaksanakan Ops Benteng dan pemeriksaan 'snap chat' dengan tangkapan setakat Jun lalu adalah 1,622 orang dan kos nilai barangan yang dirampas sejumlah RM31.5 juta.

Dia berkata demikian bagi menjawab soalan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) mengenai langkah strategik yang kerajaan laksanakan bagi mengesan lorong tikus di negara ini.

"Lorong tikus menjadi masalah besar bagi kemasukan Pati di negara kita. Sehingga kini ada 546 lorong tikus dikenal pasti di seluruh negara termasuk 169 di Kelantan dan lima di Bachok. Lorong tikus ini berubah-ubah dan menjadi masalah bagi penguatkuasaan khususnya di sempadan Sabah dan Sarawak.

"Sebab itu, kita mempunyai pelan strategik antara agensi penguatkuasaan di bawah kementerian dan tentera. Malah sempena COVID-19 ini, kerajaan juga prihatin dengan meluluskan peruntukkan RM45.1 juta bagi pembelian aset baru iaitu 200 unit pacuan empat roda dan 300 unit motor (motosikal) scrambler," katanya.

Katanya, pihak berkuasa tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang bersubahat dengan tekong bagi penyeludupan Pati di negara ini.

Selain itu, dia juga berkata kementerian sudah mengadakan mesyuarat dengan negara jiran bagi penghantaran pulang Pati ke negara asal dan sehingga kini mendapatkan kerjasama cukup baik dengan negara-negara terlibat. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS