Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM umum isu lanjutan moratorium, bantuan bank bersasar hari ini
Diterbitkan:  Jul 29, 2020 10:49 AM
Dikemaskini: 3:56 AM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman berkenaan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar hari ini.

Pengumuman itu akan disiarkan secara langsung di televisyen pada pukul tiga petang nanti.

Perkara itu dinyatakan satu poster yang dimuat naik di laman Facebook rasminya tetapi tanpa butiran lanjut.

Bagaimanapun ia dipercayai berhubung moratorium pinjaman bank yang bakal berakhir September ini.

Pada 27 Julai lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bank dijangka mengalami kerugian pengubahsuaian sebanyak RM79 bilion sepanjang tempoh pelaksanaan moratorium selama enam bulan.

Ia di tengah-tengah gesaan sejumlah pihak agar moratorium itu dilanjutkan, antaranya secara bersasar, antaranya oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM). 

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng juga menyuarakan gesaan sama atas sebab ramai yang belum sedia menyambung pembayaran pinjaman di tengah-tengah keadaan ekonomi sekarang.

Semalam, Tengku Zafrul memberitahu Dewan Rakyat bahawa keputusan berhubung moratorium akan diumumkan tidak lama lagi.

Katanya, pihak bank telah memberi komitmen untuk terus membantu peminjam dan perniagaan yang berdepan kesan ekonomi akibat wabak Covid-19.

Sejumlah 7.7 juta peminjam individu (93 peratus) dan lebih 245,000 perusahaan kecil dan sederhana (95 peratus) telah mendapat manfaat daripada moratorium.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS