Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syarat kemasukan anggota bomba wanita akan dilonggarkan - Zuraida
Diterbitkan:  Jul 28, 2020 11:17 AM
Dikemaskini: 3:19 AM

PARLIMEN l Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan melonggarkan syarat kelayakan dan ujian kemasukan bagi pengambilan anggota wanita ke pasukan itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata usaha itu bagi menarik minat lebih ramai wanita menyertai badan beruniform itu.

Jelasnya, ketika ini kuota pengambilan untuk pegawai wanita bagi gred lantikan adalah sebanyak lima peratus dan KPKT menyasarkan kuota dapat ditingkatkan sehingga 10 peratus.

"KPKT beri panduan untuk longgar ujian (fizikal) yang keras.

"Skop kerja bomba melibatkan wanita juga banyak termasuk kaunseling mangsa trauma wanita dan kanak-kanak, perkhidmatan kecemasan kepada wanita dan kanak-kanak dan bahagian pentadbiran," katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) yang meminta KPKT menyatakan inisiatif yang dilaksanakan untuk menambah bilangan anggota bomba wanita khususnya dalam kalangan pegawai di jabatan bomba.

Jelasnya, di peringkat pegawai sebanyak 10 peratus penjawatan telah diisi oleh pegawai wanita dan setakat ini terdapat lapan ketua balai daripada kalangan wanita.

Zuraida berkata untuk mencapai sasaran 10 peratus di peringkat anggota bomba wanita, KPKT akan menyemak semua kuota keperluan anggota wanita mengikut kategori tugas bomba yang khusus untuk golongan itu.

"Kita akan menyemak dan meneliti semula, mungkin kita boleh kategorikan tugas bomba dan meletakkan kuota tertentu bagi tugas-tugas yang khusus untuk wanita," katanya menjawab soalan tambahan Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) mengenai perancangan kementerian untuk mencapai sasaran itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS