mk-logo
Berita
Ali Hamsa rujuk nota percakapan diberi PMO semasa mesyuarat 1MDB
Diterbitkan:  Jul 27, 2020 9:41 PM
Dikemaskini: 1:41 PM

Bekas ketua setiausaha negara Tan Sri Dr Ali Hamsa memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau merujuk kepada nota percakapan diberikan Pejabat Perdana Menteri (PMO) ketika mempengerusikan mesyuarat penyelarasan Laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang diadakan atas arahan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Feb 2016.

Saksi pendakwaan keempat itu menjawab pertanyaan peguam Datuk N Sivananthan yang mewakili bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, mengenai bagaimana beliau membangkitkan isu-isu khusus berkaitan laporan audit dalam mesyuarat itu, walaupun menyatakan sebelumnya bahawa beliau hanya mengetahui isu berkenaan secara umum, yang berkaitan dengan dua penyata kewangan yang bercanggah dalam laporan audit.

Sivananthan: Kita mendengar rakaman audio beberapa kali dan juga transkripnya. Daripada transkrip itu, jelas anda membangkitkan isu itu. Bagaimana anda mengetahui isu berkenaan dibincangkan?

Ali: Ia disediakan untuk saya oleh setiausaha sulit saya dan beliau memaklumkan bahawa perkara itu diberikan oleh PMO. Ia hanya nota bertulis untuk mengemukakan soalan mengenai isu yang akan dibangkitkan (semasa mesyuarat).

Sivananthan: Andaikan Tan Sri Muhammad Shukry Salleh (bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib) mewakili PMO dalam mesyuarat itu, adakah (nota percakapan) diberikan kepada anda olehnya?

Ali: Ia diletakkan di atas meja oleh setiausaha sulit saya. Saya tidak pasti sama ada sumbernya adalah Tan Sri Muhammad Shukry atau 1MDB. Saya diberitahu oleh setiausaha sulit saya bahawa ia daripada PMO.

Sivananthan: Apakah perkara yang hendak dibincangkan merujuk secara khusus pada halaman atau perenggan apa dalam laporan audit itu.

Ali: Ya, ia menyatakan halaman dan perenggan.

Ali, 64, yang sepatutnya diperiksa balas oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dalam perbicaraan bekas perdana menteri dan Arul Kanda berhubung dakwaan meminda laporan audit akhir 1MDB, disoal oleh Sivananthan setelah Muhammad Shafee tidak dapat hadir setelah kurang sihat.

Saksi itu yang memegang jawatannya sehingga Ogos 2018 dan kini bersara, juga disoal oleh Sivananthan mengenai mengapa Muhammad Shukry memberi pendapat mengenai kedua-dua penyata kewangan yang bercanggah semasa mesyuarat penyelarasan Laporan Audit 1MDB sedangkan beliau tidak ada kaitan dengan 1MDB.

Ali berkata beliau tidak menghalang Muhammad Shukry membuat ulasan semasa mesyuarat itu kerana "beliau dari PMO".

Saksi itu juga bersetuju dengan saranan Sivananthan bahawa pada mesyuarat 24 Feb 2016 yang dipengerusikannya, Arul Kanda hanya mempertahankan kepentingan 1MDB kerana keputusan akhir untuk mengubah laporan audit 1MDB diserahkan kepada bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

Ali kemudian bersetuju dengan peguam itu bahawa dalam bidang kuasa Ambrin untuk mengatakan bahawa beliau tidak akan mengeluarkan maklumat daripada laporan audit 1MDB dan itu adalah keputusan akhirnya.

Ali juga bersetuju bahawa tiada isu ada orang memaksa atau menekan sesiapa untuk melakukan apa sahaja sepanjang mesyuarat itu.

Najib, 67, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB yang telah dimuktamadkan oleh Ketua Audit Negara sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan ke atas laporan itu untuk melindungi Najib daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Rabu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS