Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cadangan penswastaan Boustead: SC beri LTAT tempoh sampai 27 Okt
Diterbitkan:  Jul 27, 2020 9:02 PM
Dikemaskini: 1:02 PM

Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah meluluskan permohonan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk melanjut masa sehingga 27 Okt bagi mengumumkan hasrat cadangan penswastaan kumpulan Boustead Holdings Bhd.

Boustead Holdings, yang 59.42 peratus dimiliki oleh LTAT berkata, ia menerima notis akhbar hari ini daripada syarikat induknya mengenai tempoh lanjutan yang diberikan oleh SC menerusi satu surat yang bertarikh 24 Julai.

"Kecuali perkara di atas, tiada sebarang perkembangan ketara berkaitan dengan cadangan tersebut,” kata konglomerat berkenaan dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Kumpulan itu yang terlibat dalam perniagaan terdiri daripada perladangan hingga kewangan menegaskan cadangan tersebut tertakluk kepada antara lainnya, struktur cadangan yang dimuktamadkan, prasyarat pembiayaan bagi cadangan dan kelulusan kawal selia yang diperlukan bagi cadangan itu.

Pada lewat Mei, Boustead mengesahkan LTAT menimbang cadangan untuk menjadikan syarikat itu sebagai syarikat sendirian berhad.

Kaunter itu ditutup tidak berubah hari ini pada 68 sen sesaham dengan permodalan pasaran sebanyak RM1.38 bilion.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS