Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pesalah basikal lajak, ibu bapa boleh dihukum tak lebih RM5,000

PARLIMEN | Rang Undang-undang (RUU) untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan memperuntukkan pesalah basikal lajak yang diletakkan di bawah pengguna kenderaan mikromobiliti bakal dikenakan denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih RM5,000 berbanding hukuman sedia ada tidak kurang RM300.

Pesalah juga boleh dipenjara selama tidak lebih 12 bulan. Sementara itu, penjaga atau ibu bapa pesalah juga boleh dikenakan hukuman.

Menurut Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, peningkatan kadar denda kepada pesalah basikal lajak itu merupakan langkah pencegahan dan bagi menjaga keselamatan jalan raya.

Katanya, ia juga bertujuan supaya ibu bapa menjaga keselamatan anak-anak mereka kerana terdapat situasi di mana ibu bapa tidak tahu keberadaan anak mereka walaupun pada lewat malam.

"Tujuan kita tidak mahu menghukum kalau kita benarkan kenderaan yang tidak mempunyai 'break' atas jalan raya. Bayangkan kemalangan akan berlaku bila-bila masa.

"Itu yang kita nak buat pindaan. Dulu denda RM300 orang tidak takut, sekarang kita perketat dan hukuman lebih berat," katanya pada sidang media sesi taklimat kepada media di bangunan parlimen hari ini.

Kerajaan Perikatan Nasional hari ini membentangkan Rang Undang-undang (RUU) untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan bagi menguatkuasakan hukuman yang lebih tinggi terhadap pemanduan cuai atau dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian.

RUU tersebut menaikkan tempoh penjara dan nilai denda untuk beberapa bahagian, dengan pesalah berulang berdepan hukuman yang lebih keras.

Bagi kesalahan menyebabkan kematian akibat pemanduan cuai, Seksyen 41(1) Akta itu akan dipinda dengan meningkatkan hukuman penjara kepada lima tahun berbanding dua tahun sebelum ini. Bagi pesalah berulang, mereka boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun.

Bacaan kali kedua rang undang-undang itu akan dibuat pada persidangan dewan kali ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS