mk-logo
Berita
Lim beri keterangan lebih 8 jam pada SPRM hari ini
Diterbitkan:  Jul 26, 2020 8:35 PM
Dikemaskini: 12:35 PM

Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng selesai memberi keterangan selepas lebih lapan jam berada di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkaitan siasatan mengenai projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Sumber SPRM berkata buat masa ini, Lim tidak akan dipanggil lagi untuk memberi keterangan esok.

Ahli Parlimen Bagan itu meninggalkan ibu pejabat SPRM bersama peguamnya, RSN Rayer pada 7 malam.

Mereka terus memasuki kenderaan tanpa menjawab soalan para wartawan yang menunggu di luar bangunan agensi itu sejak pagi.

Lim tiba pada 10.42 pagi.

Ini adalah kali ketiga beliau hadir ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan berkaitan projek itu.

Kali pertama beliau hadir memberi keterangan kepada SPRM ialah pada Rabu lepas dan kali kedua semalam.

Lim sepatutnya menyambung keterangan pada Khamis lepas namun tidak dapat berbuat demikian kerana tidak sihat manakala pada Jumaat pula, beliau dilaporkan mempunyai urusan lain.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki sebelum ini dilaporkan berkata kertas siasatan berkaitan kes itu dijangka diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.

Laporan sebelum ini menyebut siasatan kes itu kini berada dalam fasa akhir dan tidak ramai saksi yang akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi menyempurnakan siasatan berkaitan projek tersebut.

Pada 30 Jun lepas, SPRM menahan bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) bagi membantu siasatan berhubung elemen rasuah dalam projek itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan beberapa exco serta bekas exco kerajaan negeri turut dipanggil memberi keterangan kepada SPRM berkaitan projek mega itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS