Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pernahkah Sabah, Sarawak dijanjikan satu pertiga kerusi Parlimen?

ULASAN | Ahli-ahli politik dari Sarawak dan Sabah sedang mendesak untuk mendapat satu pertiga daripada jumlah kerusi parlimen, meningkat berbanding satu perempat buat masa ini.

Memandangkan kedua-dua negeri ini cuma mempunyai satu per enam daripada jumlah pengundi Malaysia, satu perempat kerusi sekarang sudah boleh dianggap perwakilan berlebihan (over-representation). Maka permintaan untuk satu pertiga kerusi bukanlah untuk perwakilan sama rata (equal representation), tetapi perwakilan berlebihan yang lebih tinggi lagi.

Dalam satu kenyataan minggu lepas, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari berkata, "Sabah dan Sarawak sepatutnya mesti mengekalkan satu pertiga daripada 222 kerusi dan sekiranya ini tidak berlaku, agihan kuasa dalam Parlimen hanya akan bergantung kepada Semenanjung.”

Isu ini boleh dipecahkan kepada dua hujah. Pertama, hujah berdasarkan sejarah iaitu dakwaan bahawa Sarawak dan Sabah telah dijanjikan perwakilan satu pertiga kerusi Parlimen dalam pembentukan Malaysia. Kedua, hujah semak dan imbang iaitu Borneo memerlukan kuasa veto untuk mencegah dominasi kuasa Semenanjung dalam pindaan perlembagaan.

Pernahkah perkara ini dijanjikan dalam MA63?

Banyak rakan dari Sarawak dan Sabah akan mengambil pendirian yang lebih kuat, iaitu dengan mendakwa bahawa perkara ini dijanjikan dan berdasarkan kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Teorinya begini:

1. Ketika Malaysia dibentuk pada tahun 1963, gabungan Sarawak, Sabah dan Singapura diberi 55 kerusi (34.6 peratus) di Parlimen yang dianggotai oleh 159 orang. Ia bertujuan untuk menghalang Semenanjung daripada melakukan tindakan sepihak dalam meminda Perlembagaan Persekutuan yang merugikan ketiga-tiga negeri tersebut. Ini dianggap sebagai satu blok veto untuk melindungi mereka daripada dominasi Semenanjung.

2. Selepas Singapura meninggalkan Malaysia pada tahun 1965, Sarawak dan Sabah harus mewarisi 15 kerusi yang dimiliki Singapura untuk mengekalkan blok veto tersebut.

Tetapi adakah ini fakta sejarah atau mitos?

Malangnya, saya tidak dapat menemui apa-apa di dalam MA63 yang menyokong tuntutan ini. Jika ada mana-mana pihak yang lebih arif dan dapat membuktikan sebaliknya, saya sedia diperbetulkan.

Walaupun tidak jumpa mana-mana bukti dalam MA63, saya menemui satu janji mengenai pengagihan kerusi Parlimen dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) tahun 1962. 

IGC terdiri daripada wakil kerajaan British, Malaya, Borneo Utara (nama Sabah pada masa itu) dan Sarawak dan secara amnya menjadi salah satu asas kepada MA63.

Inilah yang muncul di bawah Perenggan 19(2):

“Artikel 46 (1) harus dipinda untuk menambah jumlah ahli Dewan Rakyat daripada 104 kepada 159 (termasuk 15 yang dicadangkan untuk Singapura). Daripada jumlah anggota tambahan, 16 harus dipilih di Borneo Utara dan 24 di Sarawak. Perkadaran jumlah kerusi yang diperuntukkan masing-masing untuk Sarawak dan Borneo Utara daripada jumlah kerusi dalam Dewan Rakyat tidak boleh dikurangkan (kecuali dengan alasan pemberian kerusi kepada mana-mana negeri baru yang lain) selama tujuh tahun selepas Hari Malaysia tanpa persetujuan Kerajaan Negeri yang berkenaan, dan selepas itu (kecuali seperti yang disebutkan di atas) akan tertakluk kepada Perkara 159(3) Perlembagaan Persekutuan (yang menghendaki Rang Undang-Undang yang membuat pindaan terhadap Perlembagaan disokong di setiap dewan Parlimen dengan undian tidak kurang dari dua pertiga daripada jumlah anggota Dewan itu)." (diterjemah oleh penulis)

Berikutan laporan ini, dua fakta adalah jelas.

Pertama, Singapura tidak pernah dimasukkan dalam satu kategori dengan Sabah (Borneo Utara) dan Sarawak dalam pengagihan kerusi, maka bahagian yang dijamin hanyalah "16 kerusi untuk Borneo Utara" dan "24 kerusi untuk Sarawak". Jumlahnya 40 kerusi dan apabila dibahagi dengan "jumlah kerusi Malaysia iaitu 159", ia bersamaan dengan 25.16 peratus.

Kedua, bahagian 25.16% ini dijamin hanya selama tujuh tahun selepas Hari Malaysia. Oleh itu, jaminan ini sebenarnya telah berakhir setelah 16 September 1970. Selepas 1970, aturan ini dipatuh lebih atas sebab pertimbangan politik, bukannya kewajiban undang-undang.

Bagaimana dengan hujah semak dan imbang?

Jika Sabah dan Sarawak tidak dijanjikan satu pertiga kerusi seperti yang didakwa, dapatkah mereka membuat tuntutan tersebut berdasarkan hujah semak dan imbang?

Jawapannya: ya dan tidak.

Ya - kerana kuasa veto perlembagaan memang dibenarkan dalam banyak keadaan, terutama dalam sebuah persekutuan.

Tidak - kerana kuasa veto seperti itu lazimnya diberikan kepada ‘dewan atas’ (upper house) ataupun Dewan Negara di Malaysia, bukan ‘dewan bawah’ (lower house) ataupun Dewan Rakyat dalam sebuah persekutuan.

Dewan Bawah harus mewakili kehendak majoriti dan oleh itu mesti berdasarkan prinsip "satu orang, satu undi, satu nilai" kerana semua warga di negara demokrasi diberi hak saksama.

Apabila negara mengamalkan sistem demokrasi berparlimen seperti di Malaysia, kerajaan tidak dipilih secara langsung oleh rakyat tetapi ditentukan oleh Dewan Rakyat, maka perwakilan sama rata penting untuknya.

Sebaliknya, Dewan Negara yang berfungsi untuk melindungi kepentingan minoriti atau kepentingan khas daripada tirani majoriti (tyranny of the majority), seperti yang diunjurkan oleh Abang Johari, boleh memberi perwakilan berlebihan kepada negeri-negeri kecil.

Amalan ini lazim di sistem persekutuan. Di Amerika Syarikat, negeri besar seperti Texas dan negeri kecil seperti Rhode Island sama-sama mempunyai dua kerusi di Senat (dewan atasan).

Jika kereta digunakan sebagai metafora, maka Dewan Rakyat ibarat pedal minyak untuk bergerak manakala Dewan Negara ibarat brek untuk semak dan kawal pergerakan kenderaan.

Sekiranya semak dan imbang adalah kemahuan sebenar Sabah dan Sarawak, bukankah mereka harus mendesak reformasi Dewan Negara agar ia mempunyai kuasa untuk menolak keputusan Dewan Rakyat dan semua ahlinya dipilih oleh rakyat, dengan satu pertiga kerusi daripada kedua-dua negeri itu?

Ahli Parlimen Borneo - siapa bos mereka?

Hujah bahawa kepentingan Sabah dan Sarawak akan lebih terlindung dengan lebih ramai ahli Parlimen sebenarnya bersandarkan pada andaian ini: bos kepada ahli Parlimen Malaysia Timur adalah pengundi Malaysia Timur.

Adakah andaian ini berasas?

Pada 19 September 1966, setelah pengisytiharan darurat di Sarawak, Parlimen Malaysia mengundi untuk meminda Perlembagaan Negeri Sarawak supaya Ketua Menteri Stephen Kalong Ningkan, yang dibenci kerajaan persekutuan, dapat disingkirkan. Semua 15 ahli Parlimen pembangkang Malaya pada waktu itu menentang dan keluar dewan sebagai tunjuk perasaan membantah.

Daripada 40 ahli Parlimen Sarawak dan Sabah, hanya lapan orang (empat dari parti Ningkan iaitu SNAP, dan empat dari SUPP yang ketika itu merupakan pembangkang berprinsip) turut membantah. 

Sepuluh tahun kemudian, pada 13 Julai 1976, Parlimen Malaysia meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Perseketuan untuk menurunkan taraf Sabah dan Sarawak daripada kategori khusus "Negeri Borneo" kepada sekadar dua daripada 13 negeri (setaraf dengan negeri-negeri Semenanjung).

Pindaan ini disokong oleh 130 daripada 154 ahli Parlimen (82 peratus), termasuk 22 dari 24 ahli Parlimen dari Sarawak (92 peratus) dan 11 dari 16 ahli Parlimen dari Sabah (69 peratus). Tujuh ahli parlimen Borneo yang selebihnya pula bukannya membantah. Mereka terus ponteng sidang Parlimen. 

Dalam kedua-dua episod tragik pada 1966 dan 1976, kebanyakan ahli Parlimen Sarawak dan Sabah mengundi untuk membinasakan martabat dan kepentingan negeri mereka sendiri.

Dari sudut pandang sang penguasa di Semenanjung, ahli Parlimen Sarawak dan Sabah bukanlah 'raja penentu' (kingmaker), tetapi hanya orang suruhan raja.

Mustapha Harun, Taib Mahmud dan Musa Aman adalah antara pemimpin negeri paling berkuasa dalam sejarah Malaysia kerana sang penguasa di Kuala Lumpur perlukan sokongan mereka. Siapa yang mereka kayakan dengan kuasa ini, negeri atau keluarga mereka?

Tiga jalan untuk memperkasa Sabah dan Sarawak

Terdapat tiga jalan untuk memperkasakan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Jalan pertama, iaitu satu pertiga jumlah kerusi di Dewan Rakyat sememangnya banyak ‘ghanimah’ – ia pintu kepada jawatan menteri, timbalan menteri, kepala GLC, bahkan PM atau TPM. Akan tetapi, ia juga bermasalah di sisi demokrasi dan mungkin merugikan rakyat jelata Borneo.

Maka, mengapa kita asyik dengan jalan pertama dan tidak mengkaji dua jalan lain yang lebih berkesan untuk mengangkat dan memperkasakan Sabah dan Sarawak?

Jalan kedua ialah reformasi Dewan Negara. Pada masa ini, Dewan Negara kita didominasi oleh 54 orang (63 peratus) lantikan persekutuan, dan dihiasi oleh 26 orang (37 peratus) wakil negeri.

Kuasa Dewan Negara sekarang begitu kecil sekali, sekadar boleh menunda rang undang-undang kewangan yang diluluskan oleh Dewan Rakyat selama sebulan dan semua rang undang-undang lain selama setahun.

Jika sekalipun Dewan Rakyat mahu menghapuskan Dewan Negara, Dewan Negara hanya dapat menunda kematiannya selama setahun.

Ini kerana Dewan Negara pada masa ini adalah badan lantikan yang tiada mandat rakyat, ia sememangnya tidak layak diberi kuasa yang lebih besar.

Jadi, reformasi yang diperlukan adalah mudah: semua ahli Dewan Negara akan dipilih oleh rakyat, dengan satu pertiga kerusi untuk Sabah (termasuk Labuan) dan Sarawak, serta mempunyai kuasa untuk menolak (veto) dan bukan hanya menangguhkan rang undang-undang dari Dewan Rakyat.

Pilihan ketiga adalah penurunan kuasa, yakni kuasa-kuasa yang dipegang kerajaan pusat diberikan kepada peringkat subnasional. Bukan hanya dari Kuala Lumpur kepada Kuching dan Kota Kinabalu, tetapi juga dari dua ibu negeri tersebut kepada 12 bahagian di Sarawak dan dan lima bahagian di Sabah.

Di sini, ahli politik Sarawak dan Sabah boleh belajar daripada kebijaksanaan Singapura dalam perundingan pembentukan Malaysia.

Pada tahun 1963, Singapura mempunyai lebih ramai penduduk daripada jumlah penduduk Sarawak dan Sabah. Akan tetapi, Singapura hanya mendapat 15 kerusi Parlimen, jauh kurang berbanding 24 kerusi untuk Sarawak dan 16 kerusi untuk Sabah kerana Umno takut Singapura menjadi terlalu kuat sehingga mencabar dominasinya.

Syarat Lee Kuan Yew untuk menerima perwakilan kurang (under-representation) di Parlimen persekutuan ialah autonomi yang lebih besar kepada Singapura. Ketika dalam persekutuan Malaysia, Singapura mengawal dasar pendidikan, perubatan dan buruhnya sendiri sedangkan Sabah dan Sarawak mesti menerima keputusan Kuala Lumpur dalam tiga bidang ini.

Daripada menjadi kingmaker atau orang suruhan raja di Kuala Lumpur, Lee mahu rakyat Singapura menjadi “raja” di negeri mereka sendiri.

Sekiranya Sabah dan Sarawak melihat diri mereka sebagai setara dengan Semenanjung (dan bukannya dengan 11 buah negeri Semenanjung), maka mereka benar-benar harus melayan bahagian di Sarawak dan Sabah seperti negeri-negeri di Semenanjung.

Jangan lupa, suatu ketika dahulu, negeri Perak, Baram-Trusan (bahagian keempat Sarawak zaman Brooke) dan Sandakan, ketiga-tiganya bukan sahaja sebanding dari segi keluasan kawasan, tetapi juga dalam pangkat unit pentadbiran. Kesemua ini ditadbir oleh pegawai tertinggi yang dipanggil Residen.

Maka, kalau negeri-negeri di Semenanjung boleh ada DUN dan kerajaan dipilih rakyat, kenapa bahagian-bahagian di Sabah dan Sarawak tidak boleh?

Daripada merebut lebih banyak kerusi untuk ‘ghanimah’ sendiri, bukankah lebih penting untuk mengangkat martabat negeri dan anak negeri?


WONG CHIN HUAT adalah saintis politik lepasan University of Essex dengan tumpuan terhadap institusi politik dan konflik kumpulan. Dia kini mengetuai kluster sistem pilihan raya dan persempadanan kawasan dalam Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) kerajaan. Dia adalah seorang oportunis berprinsip yang sedar akan motivasi kepentingan diri manusia ke arah dunia yang lebih baik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS