Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19: PKP dikuat kuasa semula jika kes harian cecah 3 angka

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob tidak menolak kemungkinan Perintah kawalan pergerakan (PKP) kembali dilaksanakan jika kes positif harian Covid-19 di negara ini mencecah tiga angka.

Beliau berkata, jika kes terus meningkat kerajaan tiada pilihan melainkan menguatkuasakan semula PKP sekali gus mengehadkan pergerakan seperti yang dilakukan pada awal penularan wabak berkenaan.

"Empat hari berturut-turut kes meningkat. Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengatakan kes meningkat disebabkan kealpaan kita sendiri. Kita lupa apabila kita melanggar prosedur operasi standard (SOP) akhirnya kes semakin meningkat.

"PKP akan dilaksanakan jika kes (baru) babitkan (meningkat) tiga angka, sekarang dua angka. Kita tiada pilihan dan tutup semua pergerakan.

"Kita harap kita belum terlewat dan SOP untuk Hari Raya Aidil Adhan akan diumumkan esok," katanya ketika sidang media selepas melawat anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, hari ini.

Semalam Ismail Sabri yang juga menteri pertahanan berkata, kerajaan secara dasar bersetuju mengetatkan semula SOP berkenaan PKP - selepas dilonggarkan dengan pelaksanaan PKP pemulihan - susulan peningkatan kes Covid-19 dalam tempoh hampir seminggu ini.

Menurutnya, jawatankuasa teknikal dijadual berbincang mengenai perincian SOP itu hari ini dan akan dibentangkan dalam mesyuarat menteri-menteri esok.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata perjalanan rentas negeri setakat ini masih dibenarkan melainkan ada pengumuman lain esok.

Justeru beliau meminta orang ramai supaya menjaga diri sendiri dengan mengikut SOP ditetapkan dan tidak mengharapkan pasukan keselamatan.

"Kita semua patut menjadi barisan hadapan dan nasihatkan keuarga terdekat supaya mengikut SOP ditetapkan.

"Apa yang membimbangkan Aidil Adha nanti bila acara sembelih lembu, tiada jarak sosial dilakukan dan selepas itu majlis kenduri pula diadakan," katanya lagi.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS