story images
story images
mk-logo
Berita
Rentas negara: Hisham, rakan sejawat capai kata sepakat di Tambak Johor
Diterbitkan:  Jul 26, 2020 12:19 PM
Dikemaskini: 4:19 AM

Menteri Luar Malaysia dan Singapura mencapai kata sepakat berhubung pelaksanaan dua skim bagi membolehkan pergerakan rentas sempadan antara dua negara berkenaan.

Hal itu diputuskan dalam pertemuan antara Menteri Luar Negeri, Hishammuddin Hussein dan rakan sejawatnya dari Singapura Dr Vivian Balakrishnan di tengah-tengah Tambak Johor pagi tadi.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata kedua-dua negara berkenaan telah bersetuju dengan aspek-aspek utama dalam skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA), yang akan dilancarkan tidak lama lagi, dengan permohonan dibuka bermula 10 Ogos.

“Mereka yang layak melakukan perjalanan perlu patuh terhadap syarat-syarat yang telah dipersetujui bersama, serta langkah-langkah kesihatan sedia ada di kedua-dua negara.

“Perincian operasi RGL dan PCA, termasuklah keperluan, protokol kesihatan, dan proses permohonan untuk masuk dan keluar ke Singapura dan Malaysia, akan dimuktamadkan dan diumumkan sedikit masa lagi,” kata kedua-dua menteri itu.

Kerajaan Malaysia menutup sempadan negara buat hampir semua warganegara dan warga asing, sebagai usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, memandangkan sempadan Malaysia-Singapura merupakan antara yang tersibuk di dunia, penutupannya telah menyebabkan banyak masalah buat kedua-dua negara.

Buat masa ini, kedua-dua negara telah melonggarkan perintah kawalan pergerakan, dan secara berperingkat membuka semula sektor ekonomi selaras penurunan kes baru Covid-19.

Dalam satu kenyataan berasingan, Hishammuddin berkata kelulusan pelaksanaan skim tersebut - yang dijangka bermula seawal 17 Ogos- tetap tertakluk kepada keupayaan kedua-dua negara melaksanakan ujian saringan Covid-19 harian terhadap pekerja-pekerja yang berulang alik.

“Kelulusan ini juga amat berkait rapat dengan tahap disiplin dan pematuhan rakyat kedua-dua negara yang melaksanakan pergerakan rentas sempadan menerusi skim RGL dan PCA,” katanya.

--


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS