Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Sekarang kita tahu apa dalam fikiran Dr M tentang 'peralihan'
Diterbitkan:  Jul 26, 2020 11:50 AM
Dikemaskini: 3:50 AM

Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengatakan beliau sering percaya bahawa Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepadanya.

"Itu benar. Sekarang kita tahu. Pada masa itu kita tidak tahu. (Kita sangka dia adalah) orang yang terhormat. Kamu berikan komitmen secara terbuka, kita percaya kamu.

"Entah bagaimana, dia kata 'tidak, tidak, tidak ... bukan itu yang saya maksudkan. Kamu (harus) buktikan (sokongan majoriti) sendiri'," kata Anwar dalam wawancara Sin Chew Daily yang disiarkan hari ini.

Mahathir, bagi pihak Bersatu, menandatangani perjanjian pada Januari 2018 yang mencalonkannya sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH).

Perjanjian itu menyatakan beliau akan memberi laluan kepada Anwar bagi menggantikannya, tetapi tidak ada tarikh yang ditetapkan.

Isu peralihan ini menjadi titik fokus dalam pentadbiran PH selama 22 bulan yang berakhir pada Februari tahun ini.

Susulan tumbangnya kerajaan PH pada penghujung Februari, Mahathir secara terbuka berulang kali mengatakan beliau akan mengundurkan diri sebagai perdana menteri selepas November.

Bagaimanapun beliau tidak pernah menyatakan komitmen untuk memastikan bahawa partinya akan menyokong Anwar sebagai penggantinya.

Semasa wawancara itu, Anwar mendakwa Mahathir sedar sepenuhnya rancangan pemimpin Bersatu untuk menarik diri daripada PH bagi membentuk kerajaan baru, tetapi tidak melakukan apa-apa untuk menghalangnya.

Anwar mengatakan ini terbukti daripada rakaman audio mesyuarat Bersatu yang bocor.

Menurut ahli majlis tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, yang hadir dalam banyak mesyuarat, Mahathir tidak pernah mahu menyerahkan pentadbiran kepada Anwar dan terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan Umno dan PAS dan bukannya DAP dan PKR.

Wan Saiful mendakwa Mahathir mengarahkan Hamzah Zainuddin untuk memulakan perbincangan dengan Umno dan PAS pada tahun 2019 untuk menjalinkan kerjasama.

Mahathir masih belum menjawab dakwaan itu.

Anwar berkata walaupun sekarang telah mengetahui hasrat dan niat sebenar Mahathir, beliau masih terbuka untuk bekerjasama dengannya tetapi tidak akan menyokongnya sebagai perdana menteri lagi.

"Memaafkan adalah suatu yang mulia. Inilah yang pernah dikatakan oleh Confucius dan sesuai dengan ajaran Islam," kata Anwar.

Mengenai dakwaan Mahathir bahawa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memilih Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri, Anwar mengatakan bahawa beliau percaya naratif ini tidak benar.

"Itu versi Mahathir. Saya percaya Lim," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS