Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Terengganu sokong SOP PKP diketatkan semula
Diterbitkan:  Jul 26, 2020 10:36 AM
Dikemaskini: 3:29 AM

Terengganu menyokong cadangan untuk mengetatkan semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilonggarkan di bawah pelaksanaan PKP Pemulihan (PKPP), bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak, berkata berdasarkan pemerhatiannya, ramai rakyat yang tidak memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial di tempat awam seperti pasar raya dan kedai makan.

“Ramai yang masih bersalaman dan tidak dapat mengamalkan normal baru dalam aktiviti harian seolah-olah sudah benar-benar ‘bebas’ daripada ancaman Covid-19.

“Setakat ini kita lihat di masjid dan surau sahaja yang benar-benar mematuhi SOP,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Alias Razak

Alias mengulas kenyataan Menteri Kanan (Kluster Pertahanan) Ismail Sabri Yaakob semalam bahawa kerajaan secara dasar bersetuju mengetatkan semula SOP berkenaan susulan kebimbangan peningkatan kes Covid-19 dalam tempoh hampir seminggu ini.

Kata Ismail, jawatankuasa teknikal dijadual berbincang mengenai perincian SOP itu hari ini dan akan dibentangkan dalam mesyuarat menteri-menteri esok.

Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia turut menyokong keputusan kerajaan, malah mencadangkan agar SOP baru dibentuk bagi membendung penularan wabak terutama ketika Hari Raya Aidil Adha hujung minggu ini.

"Kerajaan perlu meneliti dan memfokuskan kepada SOP [...] Amalan norma baru mesti dipantau dan dikuatkuasakan. Ujian saringan juga perlu lebih menyeluruh.

"Perkara yang perlu diberi tumpuan ialah kemasukan, penempatan, tempat kerja warga asing, tempat tumpuan awam, orang yang di kuarantin dan kawasan panas," kata presidennya Dr Zainal Ariffin Omar seperti dipetik.

Setakat tengah hari semalam, kes jangkitan baru Covid-19 di dalam negara mencatatkan 23 kes berbanding 21 pada hari sebelumnya. Ia meneruskan

Kuching juga telah diisytiharkan sebagai zon merah.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menyuarakan kebimbangan berhubung kadar kepatuhan SOP yang merosot, seperti yang dapat dilihat daripada jumlah individu yang menjalani pemantauan di rumah (HSO) yang tidak menjalani ujian saringan kedua, serta penurunan jumlah daftar di premis kedai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS