Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Ribuan sertai demonstrasi bantah Putin di timur jauh Russia
Diterbitkan:  Jul 26, 2020 10:09 AM
Dikemaskini: 2:21 AM

GLOBAL | Ribuan penduduk di wilayah timur jauh Rusia mengadakan demonstrasi membantah presiden Vladimir Putin, susulan penangkapan gabenor di sana, Sergei Furgal awal bulan ini.

Furgal yang ditangkap atas dakwaan bunuh menafikan tuduhan itu dan para penyokongnya mendakwa ia bermotif politik.

Menurut Reuters, demonstrasi di Khabarovsk, sebuah bandaraya yang terletak kira-kira 6,110 kilometer dari Moscow, sudah berlaku untuk tiga hujung minggu berturut-turut di saat kerajaan sedang berdepan kesan ekonomi akibat wabak Covid-19.

Pihak berkuasa Khabarovsk menganggarkan sejumlah 6,500 menyertai demonstrasi itu manakala media tempatan memberikan angka 20,000.

Demonstrasi seumpama itu serta sikap pihak berkuasa yang setakat ini tidak mengambil tindakan terhadap mereka, jarang berlaku di Russia, menurut laporan itu lagi.

Peserta demonstrasi melaungkan "Putin letak jawatan" dan "Putin pencuri", selain mendesak Furgal dibicarakan di Khabarovsk dan bukannya Moscow.

"Pulangkan Furgal kepada kami, ini pilihan kami," kata seorang peniaga yang hanya dinamakan sebagai Viktoria, seperti dipetik.

Ada juga penyokong Furgal - ahli Parti Liberal Demokratik - merasakan beliau dihukum kerana mengalahkan calon parti pemerintah, United Russia pada pilihan raya 2018.

Dalam langkah untuk meredakan ketegangan, Puting minggu lalu menamakan Mikhail Degtyaryov sebagai pemangku gabenor tetapi dibantah peserta demonstrasi atas dasar beliau tiada perkaitan dengan wilayah itu dan mendesaknya untuk letak jawatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS