Md Rayhan Kabir, yang ditahan semalam oleh Jabatan Imigresen kerana terlibat dalam dokumentari kontroversi yang dihasilkan Al Jazeera, menegaskan dia tidak berbohong dalam wawancara itu.
Rayhan menghantar pesanan Whatsapp kepada wartawan media Bangladesh, The Daily Star semalam, dengan mengatakan bahawa polis akan menangkapnya.
"Saya tidak melakukan jenayah. Saya tidak berbohong. Saya hanya bercakap mengenai diskriminasi terhadap pendatang asing. Saya mahu maruah migran dan negara saya terjamin. Saya percaya semua pendatang asing dan Bangladesh akan bersama saya," katanya kepada media itu .
Jabatan Imigresen menahan lelaki berusia 25 tahun itu di Setapak petang semalam sebelum menyerahkannya kepada polis.
Dia didakwa membuat tuduhan palsu mengenai perlakuan Malaysia terhadap pendatang tanpa izin ketika menangani wabak Covid-19 semasa diwawancara dalam dokumentari "Lock up in Malaysia's Lockdown"
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata, Rayhan akan dihantar pulang dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia selama-lamanya.
Sementara itu, bapa Rayhan, Shah Alam meminta rakyat Bangladesh untuk menyokong anaknya.
"Ibu Raihan sakit sejak sebulan lalu. Anak saya ditangkap kerana memprotes diskriminasi dan eksploitasi.
"Saya percaya anak saya tidak melakukan kesalahan. Saya mahu Bangladesh berdiri bersamanya".
Shah Alam, yang bekerja di sebuah kilang pakaian, berkata setelah Rayhan memperoleh Sijil Menengah Tinggi dari Tolaram College pada tahun 2014, dia berangkat ke Malaysia dan lulus Sarjana Muda Sastera di sini.
Polis juga telah memulakan siasatan ke atas Al-Jazeera mengenai dokumentari tersebut.