Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Parti politik perlu lebih berani kemuka calon muda di Slim

PRK SLIM | Parti politik perlu lebih berani mengetengahkan orang muda sebagai calon dalam menghadapi pilihan raya kecil kali ini.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata parti politik perlu melangkaui nilai politik kepartian lama untuk menentukan pemilihan calon.

Beliau berkata sepatutnya calon yang dipilih mesti menjiwai strata latar kedudukan tempatan agar serasi dengan minda pengundi, bergantung kepada komposisi pengundi di sesuatu kawasan.

"Selama ini terlalu taasub dengan politik kepartian lama, tradisional sehingga lupa wujudnya generasi baru yang perlu mengambil alih teraju kepemimpinan negara dan parti.

“Calon muda harus ditampilkan dengan lebih ramai lagi tetapi melihat kepada amalan lama dan konvensional, stratifikasi dalam parti menentukan pemilihan calon, kekuatan bergantung kepada sejauh mana wujudnya pengaruh dalam parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk PRK DUN Slim: Kemestian Atau Kemungkinan yang disiarkan Bernama TV malam tadi.

Senada dengan beliau, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed yang berpendapat parti politik perlu mencari jalan menambat hati pengundi muda yang merangkumi 40 peratus daripada keseluruhan pengundi Slim.

Beliau berkata pada ketika ini, rakyat khususnya pengundi muda mempunyai harapan besar kepada kerajaan selain mengharapkan pembangkang yang kuat.

"Rakyat mengharapkan pemimpin untuk memberikan yang lebih baik. Apabila berlaku penanda aras yang lebih baik, pada ketika itu (parti) yang hendak menawarkan perlu ada (penyelesaian) yang lebih baik lagi, contohnya isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dekat dengan pengundi muda,” katanya.

Anuar Shah berkata keputusan siri ke-12 PRK yang diadakan pasca PRU-14 ini tidak akan memberikan kesan kepada kerajaan negeri namun ia bakal dilihat sebagai pengukur prestasi sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, Sivamurugan berpendapat PRK Slim merupakan medan uji kaji untuk menilai kekuatan gabungan parti politik dalam situasi negara dilanda kemelut semasa serta melihat trend gelagat pengundi selepas rentetan peristiwa yang mendominasi politik tanah air.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan PRK ini tidak boleh dilihat sebagai indikator untuk menentukan bentuk pola pengundian dalam PRU-15.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS