Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRK Slim: PN pastikan tiada pertembungan sesama sendiri - Faizal

PRK SLIM | Perikatan Nasional (PN) negeri Perak yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), PAS dan Bersatu, akan menyokong siapa sahaja yang dinamakan sebagai calon, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, bulan depan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Pengerusi Bersatu Perak berkata, ketiga-tiga parti sepakat agar tiada pertembungan antara mereka dalam PRK tersebut, dan memberi sokongan kepada sesiapa sahaja bagi mewakili gabungan PN.

“Alhamdulillah, hari ini parti daripada Perikatan Nasional bersatu hati, pastikan tidak ada berlaku pertembungan di antara kami, di dalam PRK tersebut.

“Kita (PN) akan pilih seorang calon dan ketiga-tiga parti akan memberi sokongan penuh kepada calon tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pertukaran dokumen Komitmen Pelaburan Negeri Perak, melibatkan tujuh syarikat dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, hari ini.

PRK DUN Slim akan diadakan 29 Ogos, berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, Mohd Khusairi yang mewakili Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR Mohd Amran Ibrahim, dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu 32 membentuk Perikatan Nasional, terdiri daripada 25 BN yang kesemuanya UMNO, Bersatu (empat), PAS (tiga) manakala DAP (16), Amanah (lima), PKR (tiga), Bebas (dua) serta Gerakan (satu).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS