Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Loke cadang Nazri ketuai perbincangan sistem pilihan raya berdasarkan parti

Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke menyambut baik cadangan pindaan undang-undang agar pilihan raya dibuat berdasarkan parti dan bukannya calon, bagi menghentikan amalan lompat parti.

Anggota Parlimen Seremban itu berkata secara prinsipnya beliau menyokong cadangan itu yang diajukan Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz.

Malah, Loke mencadangkan Nazri mengetuai satu kaukus ahli-ahli parlimen bagi membincang dan meneliti lebih lanjut perkara tersebut.

"Secara prinsipnya, saya menyokong cadangan tersebut. Kerusi yang dimenangi atas tiket parti seharusnya milik parti tersebut.

"Calon yang menang tidak boleh membawa kerusi tersebut untuk masuk parti lain. Kecuali yang menang atas calon Bebas.

"Saya mencadangkan Nazri untuk mengetuai satu kaukus ahli-ahli Parlimen untuk membincang dan meneliti lebih lanjut perkara ini dan sama-sama memperjuangkan perubahan ini. Saya bersedia menyertai kaukus tersebut," katanya kepada Malaysiakini.

Nazri dalam persidangan Dewan Rakyat 22 Julai lalu mencadangkan sistem pilihan raya baru dengan pemilihan dibuat berdasarkan parti, bukannya calon bagi menangani masalah lompat parti dan boleh membanteras rasuah.

Nazri berkata sekiranya pindaan undang-undang dibuat ia bukan saja boleh menghalang daripada runtuhnya sesebuah parti.

Selain itu, kata Nazri, ia dapat membanteras rasuah kerana menurutnya, sesetengah anggota parlimen menganggap kemenangan dalam pilihan raya sebagai peluang untuk menjual kerusi mereka.

“Kalau yang sana ada 109 (kerusi), sini ada 111, jadi mungkin ada dua atau tiga ahli parlimen akan ‘harvesting time’, maknanya masa untuk mencari duit.

“Kalau kita bertanding lambang (parti), kita tak boleh jual diri kita. Kalau seseorang ahli parlimen keluar daripada parti, maka ahli parlimen tak bawa kerusi bersamanya,” kata Nazri (PN-Padang Rengas) di Dewan Rakyat, Rabu lalu.

Nazri merujuk undian di Dewan Rakyat baru-baru ini, di mana Mohamad Ariff Md Yusof disingkir daripada jawatan speaker dengan majoriti tipis dua undi dalam usul kerajaan.

Usul itu disokong 111 ahli Parlimen berbanding 109 undi menolak.

Ada baik dan buruk

Bagi Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad pula, cadangan tersebut ada kebaikan dan keburukan.

"Pronya masalah anggota parlimen perseorangan melompat mungkin tak berlaku. Kalau nak berlaku lompat, satu parti lompat.

"Sukar berbanding individu lompat (parti) tetapi tak mustahil. Contoh, Bersatu.

"Dalam keadaan begitu, (kontranya) yang kekal bersama PH, seperti Mahathir Mohamad akan hilang kerusi.

"Kontranya lagi, anggota-anggota parlimen dikuasai parti, iaitu pucuk pimpinan parti. Boleh hasilkan suasana dictatorship (pemerintahan diktator) dalam parti, tiada yang berani bersuara, semua 'yes man'.

"Kontranya lagi, rakyat tak dapat wakil yang diinginkan. Terpulang pada parti nak lantik siapa. Semua menjadi pembodek dan 'yes man' kepada presiden parti," katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Khalid, masalah lompat parti ini hanya boleh diselesaikan dengan menetapkan agar wakil rakyat terbabit meletakkan jawatan dan bertanding semula dalam pilihan raya lain sekiranya meninggalkan parti mereka.

Perlu dijelaskan lebih lanjut

Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin pula menyifatkan cadangan Nazri perlu penjelasan lanjut.

Ini kerana, kata Sim, setakat hari ini belum ada negara yang melaksanakan ketetapan seperti dicadangkan oleh Nazri itu.

Namun, kata Sim, sekiranya cadangan Nazri itu merujuk kepada perwakilan berkadar seperti diamalkan di Jerman, ia boleh dibincangkan.

"Pada saya apa yang Nazri cadangkan perlu ada lebih maklumat lanjut, apa maksud dia.

"Tetapi kalau kata constituency based dan juga bawah parti, maksudnya hibrid model ...nama betul dia proportionate representation (perwakilan berkadar) kita terbuka kepada pandangan dan kita boleh debat tetapi untuk perkara ini (kerana) kita perlu melibatkan pindaan perlembagaan," katanya.

Namun, tambah Sim, langkah yang perlu ketika ini adalah menguatkuasaan usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.

"Kita perlu dulukan undi 18 dan tujuannya adalah untuk menghukum orang yang khianati parti. Dengan pengkhianatan itu kita harap rakyat akan bangkit dan juga menghukum pengkhianat terbabit.

"Itu penting, kerana dengan adanya kesedaran yang tinggi maka tidak akan ada lagi orang yang berani mengkhianati mandat rakyat.

"Jadi, kita tak perlu tukar perlembagaan untuk isu ini tetapi kita mahu rakyat bangkit untuk menghukum dan sekali gus mereka akan menolak semua katak-katak ini dan akhirnya politik akan jadi besih," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS