Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno boleh ubah keputusan pecat Muhyiddin pada 2016
Diterbitkan:  Jul 24, 2020 1:42 PM
Dikemaskini: 6:16 AM

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata Umno boleh mengubah semula keputusan pemecatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin jika beliau berhasrat menyertai parti itu kembali.

Tambahnya, jika perdana menteri itu berbuat demikian, ia akan memudahkan banyak perkara antaranya pembahagian kerusi pilihan raya kelak.

"Kalau ada hasrat (Muhyiddin) kembali kepada parti, kita boleh mengubah semula keputusan memecat beliau.

“Beliau akan jadi perdana menteri yang didukung parti yang besar dan ramai ahli parlimen, jadi lebih mudah dan lebih senang.

“Tiada masalah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU), misalnya dari segi pembahagian kerusi,” katanya seperti dipetik portal Malaysia Post hari ini.

Untuk rekod, Muhyiddin telah dipecat dari Umno pada 24 Jun 2016 kerana lantang bersuara dan mempersoalkan isu skandal 1MDB Najib Razak yang pada ketika itu merupakan presiden parti dan perdana menteri.

Muhyiddin kemudian berganding bahu dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menubuhkan parti Bersatu bertanding pada PRU14 dan akhirnya memenangi pilihan raya tersebut dan berdiri bersama blok Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Muhyiddin dan Mahathir kini berpecah ekoran ‘Langkah Sheraton’ yang menyaksikan Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari PH dan membentuk kerajaan baru bersama pembangkang termasuk Umno.

Muhyiddin kemudian diangkat menjadi perdana menteri bagi menggantikan Mahathir.

Sementara itu, Mohamad yang juga Adun Rantau turut berkata Muhyiddin merupakan calon perdana menteri PRU15 yang layak ekoran penerimaan rakyat yang baik sepanjang menggalas jawatan itu.

Tambah Mohamad, dia juga secara peribadi tiada masalah dengan pencalonan Muhyiddin itu.

"Mengapa tidak kita ambil peluang untuk menamakan beliau sebagai calon perdana menteri untuk Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN), tak ada isu.

"Yang penting kita dapatkan kemenangan yang selesa,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS