Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'PAS tiada persiapan teknikal ketika canang RUU355 dulu'
Diterbitkan:  Jul 23, 2020 9:56 PM
Dikemaskini: 5:02 PM

PAS nampaknya tidak mempunyai persiapan teknikal dari segi perundangan mahupun hujah agama ketika mencadangkan betapa Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, atau lebih dikenali sebagai RUU 355, perlu dilaksanakan, kata Exco Agama Pemuda Bersatu Abu Hafiz Salleh Hudin.

Abu Hafiz berkata, ini kerana kini - ketika PAS sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan - dinyatakan bahawa sebarang pindaan undang-undang perlu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

"[...] Setelah menjadi sebahagian kerajaan Persekutuan, mereka masih perlukan penelitian dan pertimbangan baru agar ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Adakah tatkala ahli Parlimen Marang (Abdul Hadi Awang) berkali-kali bangun dahulu untuk mencadang, meminda dan membacakan usul cadangan pindaan RUU 355, beliau tidak sedar semua itu (tentang Perlembagaan Persekutuan) telah dimaklumkan oleh pelbagai pihak?” soalnya dalam satu kenyataan di Facebook.

"Membaca jawapan timbalan menteri, saya boleh simpulkan bahawa semasa mereka menyokong dan menetapkan hukum wajib (berkenaan RUU 355), mereka sama sekali tidak ada persiapan teknikal perundangan mahupun hujah agama untuk lulus dan laksanakan pindaannya," dakwanya lagi.

Abu Hafiz mengulas jawapan Parlimen oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang juga Exco Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Marzuk Shaary bahawa sebarang cadangan berkaitan penggubalan undang-undang perlu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Marzuk menjawab pertanyaan lisan Anggota Parlimen Tampin, Hasan Bahrom semalam, berkenaan sama ada kerajaan berhasrat untuk membentangkan RUU tersebut buat kali kedua, serta bila ia akan dibuat dan bagaimana ia akan dilaksanakan.

Hasan juga meminta kerajaan menjelaskan sebab jika ia tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

Abu Hafiz juga mendakwa PAS kini menggunakan nada berbeza terhadap RUU yang menjadi perjuangan parti itu dahulu.

“Lain benar ayatnya semasa jadi pembangkang...Jangan tunggang isu agama seperti ini untuk sekadar meneruskan relevan kewujudan anda dalam parti politik,” katanya lagi.

RUU itu dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 oleh Presiden PAS merangkap Anggota Parlimen Marang Abdul Hadi Awang, sebagai RUU persendirian.

Perbahasan berkenaannya ditangguhkan dan versi yang disemak semula dibentang pada November 2016 dan April 2017.

Setakat ini, RUU 355 tersebut hanya baru di peringkat mengemukakan usul sahaja tanpa perbahasan.

RUU 355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa penghukuman mahkamah syariah bagi kesalahan jenayah syariah daripada:

i) Penjara tidak melebihi 3 tahun kepada penjara tidak melebihi 30 tahun.

ii) Denda tidak melebihi RM5,000 kepada Denda tidak melebihi RM100,000.00.

iii) Sebatan tidak melebihi enam kali kepada Sebatan tidak melebihi 100 kali

Pada 28 Jun lalu, Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khairudin dilaporkan berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Takiyuddin Hassan berhubung usaha meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad pula berkata RUU 355 akan menjadi agenda Parlimen apabila tiba masanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS