Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

“Saya bukan orang alim, bukan orang bijak. Tapi saya suka kepada orang bijak”.

Begitu penghargaan yang diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad kepada salah seorang pelajar Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) yang berjaya menerima anugerah antarabangsa dalam subjek berkaitan perakaunan.

Beliau yang baru menerima berita kejayaan pelajar berkenaan sekitar selepas subuh hari ini, terus mengambil keputusan untuk membuat lawatan mengejut ke kolej berkenaan untuk menzahirkan rasa hormat dan penghargaannya.

“Walaupun saya terlalu sibuk hari ini, tapi saya rasa mesti saya kena datang. Sebab itu kedatangan saya mengejut,” katanya dalam ucapan di hadapan beberapa puluh pelajar kolej berkenaan siang tadi.

Pelajar berkenaan, Mas Idayu Munip menerima anugerah Country Gold Award bagi subjek Pearson LCCI Level 2 Certificate in Business Calculations.

Malah KPBKL sendiri memperolehi pengiktirafan Pearson LCCI Centre Award 2020 – Gold bagi pencapaian terbaik sepanjang tahun 2019, dari Pearson United Kingdom.

Menurut salah seorang warga pengurusan, kolej yang sepenuhnya dimiliki oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) itu memiliki kira-kira 85 peratus pelajar asnaf yang melanjutkan pengajian dalam bidang profesional.

Dalam acara berkenaan, Zulkifli turut menyerahkan sumbangan daripada Baitulmal kepada kolej berkenaan, sebagai tanda penghargaan atas kejayaan yang dicapai.

Bagi Zulkifli, dia amat mementingkan soal pendidikan dan tidak mahu kejayaan yang dilakar para pelajar terpadam begitu sahaja.

“Kalau dalam bab pendidikan, saya tak kompromi. Memang saya suka. Saya amat-amat menyanjung (pelajar yang berjaya).

“Saya tak nak orang-orang yang sepatutnya kita muliakan dengan kejayaan, kita padamkan. Ini (peringkat) antarabangsa, bukan menang buat logo (peringkat) kampung atau negeri,” katanya lagi.

Beliau beberapa kali memanjatkan kesyukuran dan mengucapkan rasa gembira dan terima kasih atas pencapaian berkenaan, serta kepada tenaga pengajar di kolej berkenaan.

“Saya suka kalau saya tua, saya bertongkat, tuan-tuan datang dekat saya, ucap terima kasih. Itu saja. Kata ‘terima kasih, saya berjaya’,” ujarnya.

Acara penghargaan itu turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maiwp, Mohd Nizam Yahya; Pengurus Bahagian Baitulmal, Ahmad Talmizi Bin Yahaya; Rektor Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur , Prof Dr Noor Inayah Ya’akub, serta beberapa VIP lain.

Zulkifli turut sempat mengadakan persidangan video bersama Mas Idayu menerusi aplikasi Google Meet, dan menzahirkan penghargaan dan nasihatnya buat Mas Idayu.

Mas Idayu kini sedang menjalani program latihan bersama sebuah bank terkemuka tanah air.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS