Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KKM: 25 peratus dari individu diarah kuarantin tak guna alat penilaian di rumah
Diterbitkan:  Jul 23, 2020 7:03 PM
Dikemaskini: 11:03 AM

Kira-kira seorang daripada empat orang yang arahan pemantauan di rumah (HSO), iaitu 24.8 peratus, didapati tidak menggunakan fungsi Alat Penilaian di Rumah (home assessment tool), menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Kadar itu berdasarkan analisis melalui aplikasi MySejahtera antara 7 hingga 20 Julai, katanya.

"24.8 peratus daripada jumlah individu yang diletakkan di bawah HSO tidak menggunakan fungsi ini," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Selain itu, beliau memaklumkan 10 peratus daripada individu yang menjalani HSO tidak menjalani ujian saringan kedua Covid-19 pada hari ke-13 kuarantin mereka.

Beliau memaklumkan setakat ini sejumlah 31,674 orang yang pulang dari luar negara diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari, dan 18,416 orang sudah selesai menjalaninya.

Kenyataan itu di tengah-tengah peningkatan kes aktif Covid-19, serta pengesanan sejumlah kluster baru dan laporan berhubung pelanggaran perintah kuarantin di rumah oleh individu yang baru pulang dari luar negara.

Mulai 24 Julai iaitu esok, kerajaan mengumumkan tiada lagi kuarantin di rumah bagi mereka yang baru pulang dari luar negara. Mereka sebaliknya wajib menjalani kuarantin di pusat kuarantin yang ditetapkan kerajaan.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata analisis aplikasi MySejahtera juga menunjukkan meningkatnya kadar ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard yang ditetapkan.

"Jika diperhatikan, lebih ramai masyarakat makan di restoran, membeli belah di pasar raya dan kembali bekerja di pejabat-pejabat.

"Namun begitu, analisa data melalui MySejahtera menunjukkan bahawa walaupun jumlah pengguna berdaftar dengan aplikasi MySejahtera didapati terus meningkat, namun jumlah daftar masuk di premis-premis seperti kedai makan dan pasar raya menunjukkan tren penurunan.

"Ini menunjukkan bahawa pematuhan terhadap SOP kian berkurangan," katanya lagi.

Noor Hisham berkata, ketidakpatuhan terhadap arahan dan nasihat kerajaan berhubung wabak Covid-19 antara sebab berlaku peningkatan kes harian mutakhir ini.

Katanya, negara mencatatkan kes harian terendah pada 1 Julai lalu dengan hanya satu kes, serta tiada kes penularan tempatan selama beberapa hari.

"Namun sejak kebelakangan ini kes harian kembali meningkat dan ada kala mencapai dua angka.

'Trend kenaikan kes harian dan kewujudan kluster baru besar kemungkinan disebabkan kelekaan dan ketidakatuhan orang ramai kepada arahan dan nasihat kerajaan dalam menangani wabak ini," katanya lagi.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS