Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan permohonan Najib batal dakwaan pinda audit 7 Ogos

Keputusan permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk membatalkan dakwaan meminda laporan audit 1MDB terhadapnya pada 7 Ogos ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan tarikh itu untuk menyampaikan keputusannya selepas penghujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Ketika penghujahan hari ini, peguam Muhammad Shafee Abdullah berkata permohonan pembatalan itu patut dibenarkan bagi mengelakkan penindasan dan penyalahgunaan proses mahkamah terhadap tertuduh.

Katanya, penindasan dan penyalahgunaan proses mahkamah dapat dilihat antaranya ketika pendakwaan dibenarkan meminda pendakwaan terhadap Najib.

Pada 24 Jun lalu, mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan itu atas dasar ia tidak menyebabkan ketidakadilan atau prejudis terhadap Najib.

"Boleh berlaku penyalahgunaan proses (mahkamah), maka (pembatalan dakwaan) untuk menjaga tertuduh daripada penindasan dan prejudis.

"Kami mengatakan ada kelemahan serius dalam pendakwaan, menjadikan pendakwaan tidak berasas," kata Shafee.

Beliau kemudian merujuk pernyataan saksi oleh tiga saksi pendakwaan - antaranya bekas ketua audit negara Ambrin Buang - yang didakwanya menguatkan tanggapan bahawa tiada kes terhadap Najib.

Zaini menyoal Shafee tentang mengapa pembelaan memilih untuk pembatalan kes ketika mereka boleh menunggu proses pendakwaan selesai (dan pembelaan boleh memeriksa balas saksi).

Katanya, jika pihak pembelaan menunggunya, mereka boleh melihat sama ada mahkamah memutuskan ada kes prima facie terhadap Najib atau tidak.

Jawab Shafee, mahkamah mempunyai kuasa kehakiman bukan sahaja untuk menunggu pendakwaan menutup kes mereka, tetapi untuk memutuskan sama ada membenarkan permohonan pembelaan untuk membatalkan pendakwaan atau tidak.

DPP Gopal Sri Ram kemudian berhujah bahawa banyak kriteria perlu dipenuhi sebelum dituduh boleh dikatakan telah ditindas atau berdepan penyalahgunaan proses mahkamah.

Belau berkata tertuduh tidak boleh dikatakan berdepan penindasan hanya kerana dihadapkan dengan pertuduhan.

Perbicaraan utama berkenaan dakwaan meminda laporan audit 1MDB terhadap Najib dan bekas CEO 1MBD Arul Kanda Kandasamy akan bersambung semula 27 Julai ini.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS