Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan mesti pertahan kebebasan media, sedia dikritik - Suhakam

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) meminta kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempertahankan kebebasan media dan kebebasan bersuara di negara ini.

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph, berkata media seharusnya diberi kebebasan menulis, melapor serta menyiasat sesuatu isu.

Joseph mengakui beliau terkejut dengan tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap portal berita Malaysiakini.

"Kita setuju kebebasan media meningkat dalam dua tahun ini... kerajaan baru harus pertahankan kebebasan media, kritikan terhadap kerajaan baik dari ahli politik atau pun media.

"Kritikan adalah pentas perbandingan idea yang menjadi sebahagian daripada kehidupan kita," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, hari ini.

Joseph sebelum itu menerima memorandum daripada Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang meminta Suhakam menyiasat ancaman ke atas pembela hak asasi manusia, aktivis dan pihak pembangkang oleh pihak berkuasa.

Memorandum berkenaan diserahkan Penyalaras Unit Pemantauan Suaram, Dobby Chew.

Jospeh berkata, Suhakam mengambil maklum dan akan menyiasat perkara itu serta akan menyampaikan "suara" berkenaan kepada kerajaan.

Suaram menyenaraikan 12 individu serta pihak tertentu termasuk anggota Parlimen yang "diganggu" pihak tertentu sejak PN berkuasa.

Sementara itu, Chew berkata Suaram amat khuatir dengan ancaman dan gangguan terhadap pembela hak asasi dan pihak pembangkang di bawah kerajaan PN.

Jelasnya Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan kepada hak untuk bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

Namun katanya ia amat membimbangkan apabila melihat hak-hak ini dicabuli dalam beberapa bulan selepas pertukaran kerajaan kebelakangan ini.

"Sebagai contoh, tuduhan menghina terhadap ketika ketua editor Malaysiakini di Mahkamah Persekutuan bagi komen pembaca yang kini sudah dipadam, serta gangguan terhadap peserta Parlimen Digital oleh pihak polis.

"Kami juga mempunyai bukti penyiasatan ini digunakan bagi mendiamkan media daripada melaporkan polisi-polisi kerajaan yang kontroversi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS