Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Ia adalah penghinaan kepada Pejabat Speaker'
Diterbitkan:  Jul 23, 2020 9:44 AM
Dikemaskini: 1:44 AM

Selain dikecam beberapa menteri Perikatan Nasional (PN), bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof juga berpendapat ada antara mereka bertindak di luar batasan sehingga dianggap merendahkan kedudukan jawatannya.

Mengakui sedar kedudukannya akan diketepikan di bawah kerajaan PN, Mohamad Ariff berkata ia semakin jelas apabila pemimpin kanan gabungan berkenaan mendesaknya agar berundur.

“Beberapa minggu kemudian, seorang lagi menteri mengulas (dengan berkata:) ‘buat sementara waktu kita akan kekalkan speaker’.

“Saya fikir itu tidak betul.

“Bagaimana boleh pihak eksekutif tentukan terma seperti ‘buat sementara waktu’?

"Hakikatnya ia adalah penghinaan kepada Pejabat Speaker,” kata Mohamad Ariff dalam temu bual bersama portal The Malaysian Insight dan disiarkan hari ini.

Mohamad Ariff pernah menjadi pensyarah undang-undang di Universiti Malaya dan bersara sebagai hakim Mahkamah Rayuan sebelum dilantik menjadi speaker Dewan Rakyat apabila Pakatan Harapan membentuk kerajaan pada Mei 2018.

Bagaimanapun selepas PH dijatuhkan, PN bertindak menggantikan beliau dengan seorang peguam dan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Azhar Harun.

Ada aura negatif

Anggota Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said, pula dilantik menggantikan timbalan speaker, Nga Kor Ming dari DAP.

Untuk rekod, Azhar dan Azalina merupakan bekas pelajar Mohamad Ariff.

Menurut Mohamad Ariff ada beberapa petunjuk yang membayangkan kedudukannya di Dewan Rakyat tidak akan bertahan lama selepas PN mengambil alih Putrajaya.

“Saya bukannya peguam bebal, saya boleh baca petunjuk yang ada. Ada aura negatif," katanya.

Pun begitu Mohamad Ariff berkata beliau tetap meletakkan harapan agar rakyat akan dapat melihat bahawa ada kebaikan jika jawatan berkenaan dikekalkan.

Beliau juga mendedahkan pernah memberi nasihat kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin agar sidang parlimen pada Mei lalu dilanjutkan lebih daripada sehari.

Enggan memberitahu apakah nasihat yang diberikan kerana menganggapnya sebagai sulit, Mohamad Ariff berkata, Muhyiddin akhirnya tidak mengendahkannya.

“Itu (nasihat) saya tak boleh cakap (dedah), tetapi yang jelas saya tidak kata (bahawa) kita hanya boleh bersidang sehari sahaja," katanya.

Sebagai speaker, kata Mohamad Ariff, beliau hanya boleh memberi nasihat tetapi Muhyiddin sebagai ketua Dewan Rakyat yang menentukan.

“Jika ketua Dewan (perdana menteri) berpendirian yang kita perlu ada sidang sehari, speaker hanya boleh nasihat - yang saya rasa saya buat - yang sebenarnya kita boleh buat sidang lebih sehari.

“Akhirnya kalau ikut konvensyen, awak (perdana menteri) putuskan,” katanya.

Itu pun kerana rasuah

Menceritakan detik penggugurannya sebagai speaker, Mohamad Ariff berkata beliau berasa seperti diasak kerana pembabitannya sebagai anggota Amanah diungkit PN bagi menggambarkan beliau tidak boleh berlaku adil di Dewan Rakyat.

Hakikatnya, kata Mohamad Ariff, beliau sudah meletakkan jawatan dan meninggalkan parti berkenaan sebelum dilantik menjadi speaker.

Mengenai usul menukar speaker, Mohamad Ariff berkata, ia langsung ditandatangani selepas diterima pejabatnya.

“Tetapi itu keputusan awak (PN), akhirnya ia adalah keputusan politik awak (PN). Jika awak rasa perlu gugurkan speaker, beri saya usul yang saya boleh tandatangan serta merta... yang mana mereka buat, dan saya luluskan serta-merta. Saya tidak ada masalah dengan itu,” katanya.

Pun begitu kata beliau membenarkan usul berkenaan diletakkan dalam Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat bukanlah bermakna beliau bersetuju dengan tindakan berkenaan.

Kata Mohamad Ariff dalam sejarah dunia belum pernah ada seorang speaker ditukarkan ketika parlimen masih belum dibubarkan.

“Speaker hanya boleh digugurkan sebaik sahaja (parlimen) dibubar. Itu cara sistem berfungsi.

"Selain Trinidad dan Tobago, tidak ada speaker negara Komanwel yang ditukar,” katanya.

Itu pun, kata beliau, speaker terbabit digugurkan kerana dituduh terlibat dengan amalan rasuah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS