Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS pertimbang enam kerusi parlimen Terengganu
Diterbitkan:  Jul 22, 2020 10:23 PM
Dikemaskini: 2:23 PM

Meskipun sebelum ini Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar berkata parti itu akan mempertahankan enam kerusi yang dimiliki PAS di Terengganu, namun selepas pertemuan bersama pimpinan Perikatan Nasional, beliau seolah-olah memberi isyarat bahawa ia akan dipertimbangkan semula.

Menurut Menteri Besar Terengganu itu, ini memandangkan Umno dan Bersatu mempunyai senarai harapan (wishlist) untuk kerusi yang bakal dipertandingkan bagi pilihan raya umum ke-15 nanti.

“Kita tengok dulu.. Insya-Allah. Masing-masing ada wishlist masing-masing.

“Kita akan… bagaimana kita nak merundingkan wishlist masing-masing nak bertanding di mana,” katanya apabila ditanya mengenai kebenaran bertanding enam kerusi tersebut.

Dalam satu sidang media di Marang, Terengganu beliau menjawab berhubung perkembangan terkini tentang pertemuan bersama pimpinan PN baru-baru ini.

Pertemuan itu turut dihadiri oleh beberapa pimpinan PAS seperti Takiyuddin Hassan, Mohd Khairuddin Aman Razali, wakil dari Umno Ismail Sabri Yaakob dan wakil Bersatu Hamzah Zainuddin.

Beliau menjelaskan bahawa pertemuan yang membincangkan isu pengagihan kerusi itu masih di peringkat permulaan dan akan diteruskan dalam beberapa siri pertemuan lain.

“Kita berbincang framework (rangka kerja) apa yang kita perlu buat dan hal yang berkaitan.

“Tapi ia satu pertemuan yang sangat positif pada saya,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri enggan mendedahkan lebih lanjut butiran bagaimana pengagihan kerusi bersama parti dalam gabungan PN itu akan dilaksanakan.

“Adalah kaedah dia yang saya tak boleh jelaskan di sini.

“Yang pentingnya, bila kita sudah selesai, kita sudah sedia untuk menghadap untuk hadapi pilihan raya pada bila-bila masa,” katanya.

Sebelum ini beliau menegaskan bahawa keenam-enam kerusi parlimen yang dipegang PAS Terengganu buat masa ini, akan dipertahankan dengan sesungguh-sungguhnya.

“Saya memberikan komitmen, dalam konteks Terengganu kita ini, enam kerusi parlimen itu kita akan kekalkan dan pertahankan dengan sesungguh-sungguhnya,” katanya.

Menurutnya, soal agihan kerusi dalam PRU15 nanti akan menjadi medan untuk ahli PAS membuktikan konsep walak dan tsiqah kepada kepemimpinan PAS.

Kerusi tersebut merupakan Setiu, Kuala Nerus, Marang, Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS