Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tempat tinggal sesak penunjuk 'amalan buruh paksa' - aktivis pada menteri

Seorang aktivis kesatuan sekerja yang sebelum ini bersuara tentang dakwaan amalan buruh paksa oleh Top Glove menyangkal kenyataan Menteri Sumber Manusia M Saravanan, yang menyifatkan dakwaan terhadap pembuat sarung tangan getah terbesar dunia itu sebagai tidak berasas.

Pengerusi Labour Law Reform Coalition (LLRC) N Gopalkishnam berkata keadaan tempat tinggal yang sesak adalah antara penunjuk amalan buruh paksa.

"Bertentangan dengan kenyataan menteri, keadaan tempat tinggal pekerja (yang teruk) adalah unsur buruh paksa," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

"Menteri serta para pegawai yang membantunya dalam proses (siasatan) perlu melihat semula Konvensyen 29 1930 Pertubuhan Buruh Antarabangsa," katanya merujuk peruntukan berkenaan buruh paksa.

Beliau yang juga setiasaha agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perusahaan Alat-alat Pengangkutan dan Sekutu, berkata dalam tempoh perintah kawalan pergeraka (PKP), konvensyen itu terpakai kepada keadaan tempat tinggal yang menghalang amalan penjarakan sosial.

Susulan pertemuan dengan pemain industri sarung tangan getah di kementeriannya semalam, Saravanan berkata siasatan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mendapati kebanyakan dakwaan terhadap Top Glove adalah tidak berasas.

Dalam satu kenyataan berasingan, Kementerian Sumber Manusia berkata ibu pejabat Top Glove di Meru, Klang telah diserbu penguatkuasa pada 13 Julai lalu tetapi syarikat itu didapati tidak mengamalkan buruh paksa.

Bagaimanapun kementerian itu mendapati syarikat itu telah melanggar peraturan PKP serta menyediakan tempat tinggal yang sesak untuk pekerja asingnya.

Pengarah Eksekutif Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira, yang antara lain menumpukan isu-isu hak pekerja dan migran, berkata serbuan atau kunjungan sehari tidak memadai untuk mendedahkan unsur buruh paksa dalam suatu operasi.

Adrian Pereira

"Apa-apa keadaan yang mendedahkan kesihatan dan keselamatan pekerja kepada risiko boleh dikira sebagai buruh paksa.

"Saya nasihatkan menteri untuk mengajak badan seperti Suhakam, Tenaganita, Majlis Peguam dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam siasatan terhadap dakwaan itu berbanding mengenepikannya begitu sahaja," kata Pereira.

'Top Glove dibenarkan naikkan had kerja lebih masa'

Sumber JTK turut memberitahu Malaysiakini bahawa keadaan tempat tinggal pekerja adalah pengukur amalan buruh paksa, tetapi selain denda yang telah dikenakan kepada Top Glove kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP, tiada pelanggaran undang-undang buruh lain yang direkodkan ketika serbuan 13 Julai itu.

Sumber itu juga berkata, antara sebab serbuan pelbagai agensi itu adalah siasatan Channel 4 United Kingdom yang disiarkan pada Jun lalu, yang mendedahkan dakwaan keadaan tempat tinggal dan kerja yang tidak mencapai standard di premis Top Glove.

Berhubung dakwaan amalan eksploitasi yang dibangkitkan Channel 4, sumber itu berkata Top Glove telah menerima kelulusan untuk pekerjanya bekerja lebih masa melebihi 104 jam sebulan.

Kami (JTK) memberi kelulusan kepada permohonan Top Glove untuk pekerja mereka kerja lebih masa melangkaui 104 jam. Kelulusan berdasarkan sebab yang diberikan iaitu kekurangan pekerja," katanya.

"Kami memantau situasi. Kelulusan hanya diberikan sehingga akhir bulan ini," katanya lai.

Difahamkan kelulusan itu membolehkan pekerja Top Glove membuat kerja lebih masa sehingga 150 jam dalam sebulan.

Bagaimanapun, sumber itu berkata, temu bual bersama 30 pekerja di kilang utama susulan serbuan mendapati bukan semua yang bekerja melebihi had awal lebih masa, iaitu 104 jam.

Gopalkishnam adalah antara sumber yang diwawancara untuk laporan Channel 4 dan beliau memberitahu Malaysiakini yang hari ini beberapa pegawai dari Kementerian Dalam Negeri akan ke pejabatnya pada Jumaat ini untuk temu bual.

"Mereka tidak kata mahu siasat saya tetapi hanya untuk semak fakta-fakta tertentu dalam wawancara Channel 4," katanya.

Semalam, pengarah urusan Top Glove Lee Kim Meow berkata kebanyakan faktor yang menyebabkan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) mengenakan arahan sekatan terhadap Top Glove adalah dakwaan lama yang telah ditangani.

Dia juga mendakwa "seorang aktivis dan sebuah NGO" secara tidak adil membangkitkan kelemahan syarikat, terutama ketika permulaan PKP pada Mac lalu, tetapi mengabaikan usaha yang dijalankan untuk menambah baik keadaan tempat tinggal dan kerja para pekerja mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS