Tekanan kewangan boleh membuatkan seseorang itu hilang pertimbangan.
Seorang pemandu lori, yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pinjaman bank dan berdepan kes mahkamah, berkata dia pernah merancang untuk membunuh diri.
M Arumugam, 42, mendakwa dia dan tunangnya ditipu oleh seorang individu yang dikenali di Facebook untuk mendapatkan pinjaman bank bagi menampung belanja pendidikan tinggi anaknya.
Katanya, dia meminta bantuan Tommy (bukan nama sebenar) kerana statusnya yang disenarai hitam daripada membuat pinjaman bank.
"Anak saya mendapat 9A dalam peperiksaan SPM. Dia nak melanjutkan pelajaran dalam bidang perguruan namun tidak mendapat sebarang tawaran daripada universiti awam.
"Jadi, saya nak ingin nak masukkan dia di kolej swasta.Tapi, saya tidak mampu kerana gajinya tidak banyak. Lagi pun, saya disenarai hitam untuk mengambil pinjaman.
"Saya mula mengenali Tommy melalui Facebook. Dia kata mampu mendapatkan pinjaman untuk saya.
“Dan saya hanya perlu bayar dia komisen lapan peratus selepas mendapat pinjaman," kata bapa kepada empat anak hasil daripada perkahwinan pertama kepada Malaysiakini.
Dia berkata jumlah pinjaman bank mereka berdua kira-kira RM30,000.
Arumugam berkata dia mempercayai Tommy kerana tidak meminta sebarang wang pendahuluan.
Dia pada awalnya, berhasrat membuat pinjaman atas nama tunang sahaja. Kemudian, dia membuat keputusan buat pinjaman atas nama dia sekali.
"Saya percaya dia, dan memberikan maklumat peribadi saya dan tunang saya," katanya.
"Kemudian, Tommy kata dia perlu kad ATM bank kami supaya dia boleh membuat 'income transactions' bagi mengkukuhkan akaun bank itu supaya mudah mendapat pinjaman bank. Kami juga diberitahu bahawa dia akan gunakan kad ATM itu mengeluarkan wang komisen dia dan pulangkan baki pinjaman kami.
“Dia juga minta kami serahkan kad ATM melalui kurier ke alamat dia untuk memastikan dia tidak menipu kami. Kami pun buat apa yang diminta," katanya yang kini menetap di Negeri Sembilan.
Arumugam berkata dia hanya sedar ditipu selepas menerima panggilan daripada pihak polis.
"Selepas, beberapa hari saya menyerahkan kad ATM, kami terima panggilan daripada pihak polis katanya bahawa terdapat laporan ke atas akaun bank kami.
"Saya terkejut mendapati Tommy menggunakan akaun bank kami, menipu 27 individu dengan janji mendapatkan pinjaman bank.
"Berbeza dengan kami, kesemua mereka membayar wang pendahuluan kepada Tommy. Semua bayaran dibuat dalam akaun bank kami.
“Tommy 'sapu' semua dan sangkutkan kami dalam kes ini," katanya.
3 kes mengaku salah, 3 tunggu bicara, 21 lagi akan dituduh
Menurutnya, dia bersama tunangnya telah berdepan tiga pertuduhan di mahkamah, tiga kes lagi masih menunggu tarikh perbicaraan dan 21 lagi belum didakwa.
"Dua kes di Johor, tunang saya mengaku dan membayar denda. Satu kes di Pulau Pinang juga melibatkan tunang saya telah dibuang.
"Masih ada tiga kes untuk perbicaraan dan menunggu 21 lagi pertuduhan," katanya.
Dia berkata secara keseluruhan berdepan 13 kes manakala tunangnya pula 14 kes.
Katanya, perkara itu menyebabkan panik dan mereka sekeluarga merancang untuk membunuh diri dengan cara minum racun.
"Saya tahu membunuh diri bukan penyelesaian. Tetapi, disebabkan tekanan yang tinggi kami terpaksa mengambil keputusan tersebut.
“Kami sudah beli racun. Nasib baik, anak perempuan saya memberitahu perkara ini kepada neneknya dan dia (ibu saya) sempat menahan kami daripada membunuh diri,” katanya.
Arumugam juga berkata dia telah banyak mengeluarkan wang susulan pertuduhan itu.
"Daripadanya, dua kes kami bayar denda RM500 masing-masing di Mahkamah Johor. Satu kes di Bukit Mertajam Pulau Pinang diselesaikan selepas kami diminta membayar RM5,000 kepada pengadu supaya kes itu boleh ditarik balik.
“Kami bayar RM5,000 kepada seorang pegawai polis. Kes lain masih dalam proses pertuduhan di mahkamah.
"Masalah kami ialah, pertuduhan ini di merata tempat. Di Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan sebagainya. Jadi, kami menghadapi kesukaran untuk menhadir ke semua kes.
"Tunang saya dah dipecat kerja selepas majikan mendapat tahu isu ini. Saya terpaksa cuti untuk hadir ke mahkamah. Kami juga dah jual kereta, motosikal dan banyak barang lain untuk menghadapi kes-kes ini," katanya.
Ketika ditanya kenapa mereka mengakui salah dalam dua kes pertama, Arumugam membalas bahawa dia “tiada pilihan”.
"Kami dinasihati oleh pihak polis dan timbalan pendakwa raya untuk berbuat demikian dan membayar denda sahaja.
"Sebagai contoh, dalam kes pertama, jamin ditawar adalah lebih RM3,000 sekiranya tidak mengaku salah. Manakala, denda RM500 kalau mengakui.
"Jadi, kami tidak ada pilihan lain. Terpaksa mengakui (bersalah)," katanya.
Arumugam juga berkata telah membuat dua laporan polis termasuk ke atas Tommy.
"Ya, kami dah buat dua laporan polis. Namun, sehingga kini tidak ada tangkapan dibuat.
"Kami, harap sangat Tommy ini dapat ditangkap, Jika tidak maka lebih ramai akan menjadi mangsa seperti kami," katanya.
PSM tulis surat kepada Peguam Negara
Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan, yang membantu keluarga tersebut, berkata beliau telah menulis surat kepada Peguam Negara Idrus Harun supaya pertuduhan ke atas mereka dibuang.
"Mereka ini bukan bukan penjenayah. Cuma mangsa penipuan oleh pihak ketiga.
"Maka, adalah wajar kepada peguam negara membebaskan mereka daripada semua tuduhan," katanya.
Tambah, beliau selain Peguam Negara, beliau turut menulis surat kepada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dan Presiden Majlis Peguam Negara Salim Bashir Bhaskaran.
"Kami buat surat kepada mereka pada 15 Julai ini. Harap keadilan ditegakkan dan mangsa penipuan tidak dihukum," katanya.