Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof membidas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary yang berkata akan menilai semula keputusan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini untuk menjual sejumlah subsidiari TH Plantations (THP) Bhd.
Jelas Mujahid yang merupakan bekas menteri agama itu, tujuan penjualan anak syarikat Lembaga Tabung Haji adalah untuk mengurangkan bebanan hutang.
Katanya lagi, kenyataan Ahmad Marzuk semasa memberi jawapan bertulis berhubung isu itu tidak jujur dalam menyatakan proses penjualan aset tersebut.
“Tujuan ini semua adalah untuk bayar hutang. Ia adalah keputusan perniagaan transaksi bukan keputusan politik sebab nak selamatkan THP, sebab kalau teruskan (dengan hutang) THP akan gulung tikar.
“Sebab itu saya rasa kenyataan timbalan menteri tidak adil dan kelirukan dewan tentang THP.
“Beliau tak jujur tak nyatakan proses penjualan adalah sebab kurangkan beban bukan untuk suka-suka jual,” katanya menerusi sidang media dalam Parlimen hari ini.
Kata Mujahid lagi, beliau juga kesal atas jawapan yang diberikan oleh timbalan menteri itu yang menurutnya bersifat politik.
“Saya amat kesal dengan jawapan dan tak berdasarkan jawapan pemulihan tapi dengan tujuan politik untuk rendahkan usaha kami bagi selamatkan THP dan secara menyeluruh,” katanya
Terdahulu, Ahmad Marzuk berkata semenjak kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih, keyakinan pelabur semakin meningkat disebabkan hubungan dengan antarabangsa.
Kata Ahmad Marzuk, harga minyak sawit mentah kian pulih disebabkan hubungan dagangan antarabangsa kembali terjalin.
"Justeru Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menilai semula keputusan penjualan ladang secara besar-besaran ini sama ada ia wajar ataupun tidak," kata Ahmad Marzuk.
Ahmad Marzuk yang merupakan anggota parlimen Pengkalan Chepa dari PAS menjawab soalan Anggota Parlimen Tanjong Karang Noh Omar berkenaan justifikasi penjualan dan keluasan ladang yang telah dijual dan berkenaan pembelinya.
Sementara itu, Mujahid turut menambah bahawa menteri agama ketika pentadbiran BN pada 2015 turut melakukan hal yang sama.
“Sebenarnya kedudukan THP agak kritikal sejak 2015 lagi berikutan pelaburan yang tinggi kerana itu ia terpaksa menjual dua anak syarikatnya, TH Bakti Sdn Bhd pada 2015 sebanyak RM16.3 juta dengan THP Gemas Sdn Bhd pada 2016 sebanyak RM154.6 juta,” katanya.
“[..] tapi mengapa bila hari ini usaha kami rasionalisasi yang dbuat untuk selamatkan THP bila aset-aset dijual dengan keperluan jadi isu politik,” katanya lagi..