Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penumpang KL-Kuching antara 16 kes baru Covid-19
Diterbitkan:  Jul 22, 2020 6:26 PM
Dikemaskini: 12:01 PM

Seorang penumpang dalam penerbangan Kuala Lumpur-Kuching adalah antara 16 kes terbaru kes Covid-19 baru yang dilaporkan hari ini.

Penumpang itu adalah orang kedua dalam penerbangan yang sama dijangkiti Covid-19.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baru itu dirujuk sebagai kluster PUI Melbourne kerana kes pertama melibatkan seorang pelajar Malaysia yang kembali dari Melbourne, Australia.

Beliau berkata, pelajar tersebut, yang dirujuk sebagai kes 8749, menaiki penerbangan dari Melbourne ke Kuala Lumpur pada 15 Julai dan seterusnya penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching.

Dia ditempatkan di bawah kuarantin semasa tiba di Kuching dan didapati positif dengan Covid-19 pada 17 Julai. Pelajar yang tanpa gejala itu, telah dimasukkan ke hospital umum Sarawak.

“Susulan itu, siasatan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif telah dijalankan. Satu lagi kes positif telah dikesan dalam kluster ini.

“Kes kedua ini telah menaiki pesawat yang sama dengan kes indeks iaitu pesawat yang telah bertolak dari Kuala Lumpur ke Kuching,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 21 orang kontak rapat yang terdiri daripada penumpang dari pesawat dan kenderaan awam yang berkaitan telah disaring dan masih menunggu keputusan.

“Punca jangkitan masih di dalam siasatan,” katanya.

Penumpang yang dijangkiti yang berada dalam penerbangan yang sama dengan pelajar Melbourne berkenaan dianggap sebagai penularan tempatan walaupun jangkitan pertama adalah kes yang diimport.

Malaysia hari ini mencatatkan lapan penularan tempatan dan lapan kes yang diimport - menjadikan jumlah 16 kes baru.

Enam kes penularan tempatan lain berasal dari kluster sedia, iaitu kluster Stutong (3), kluster Sentosa (1), kontak rapat Kes 8,695 dan kakitangan yang disaring sebelum kembali bertugas di sekolah. Semua mereka adalah di Sarawak.

Penularan tempatan yang kelapan, yang juga adalah satu-satunya kes bukan warganegara, melibatkan warga asing yang telah disaring di Selangor sebelum mahu berlepas ke luar negara.

Tiga daripada lapan kes import hari ini adalah daripada kluster baru iaitu Hyde Park, nama kapal yang berlabuh di Pelabuhn Klang di mana penularan Covid-19 berlaku.

Sebelum ini, dilaporkan seorang warga Rusia yang menaiki kapal itu - dengan sejarah perjalanan ke Mesir dan India - telah dijangkiti wabak tersebut.

Dr Noor Hisham berkata, 24 orang di kapal itu telah disaring dan setakat ini hanya empat yang positif dengan Covid-19 sementara 20 yang lain menunjukkan keputusan negatif.

“Semua kes positif dalam kluster ini melibatkanbukan warganegara. Mereka sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh, manakala kesemua kontak rapat yang negatif pula dikuarantin di kapal tersebut.

“Justeru, kluster ini tidak membawa risiko penularan jangkitan di dalam komuniti kerana ia merupakan kluster import yang terpencil (isolated) di sebuah kapal.

“Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di kapal tersebut,” katanya.

Bagi lapan kes yang diimport, mereka terdiri daripada enam rakyat Malaysia dan enam bukan warganegara yang melakukan perjalanan dari India (2), Rusia (2), Arab Saudi (1), China (1), Indonesia (1) dan Korea Selatan (1 ).

16 jangkitan baru hari ini menjadikan kes terkumpul meningkat kepada 8,831, manakala 8,566 telah pulih. Ini termasuk empat pemulihan tambahan yang direkodkan hari ini.

Jumlah kes aktif juga meningkat kepada 142 orang.

Daripada mereka yang dirawat itu, lima berada di unit rawatan intensif dengan seorang mangsa memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dengan penemuan kluster PUI Melbourne dan Hyde Park, negara kini mempunyai 21 kluster Covid-19 yang aktif.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS