Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bangkit isu 1MDB: Tak habis-habis macam bapa dia - Tajuddin pada Mukhriz

PARLIMEN | Tajuddin Abdul Rahman (PN-Pasir Salak) tidak berpuas hati apabila Mukhriz Mahathir (Bebas-Jerlun) membangkitkan isu penyelewengan syarikat 1MDB yang mengaitkan bekas perdana menteri Najib Abdul Razak dalam perbahasannya di Dewan Rakyat hari ini.

Mukhriz membagkitkan kes itu - yang kini dalam perbicaraan mahkamah - ketika menyentuh isu lantikan politik yang menurutnya boleh menjurus kepada salah guna kuasa dan penyelewengan.

Beliau memetik afidavit sokongan pegawai SPRM dalam permohonan pelucutan hak ke atas Petrosaudi International Limited dan empat yang lain daripada menggunakan dana lebih AS$340 juta didakwa berkaitan 1MDB, yang menyatakan ia berkait dengan konspirasi membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak, Petrosaudi International Limited Tarek Obaid dan Jho Low.

"Ini semua dilakukan sewaktu ahli politik pegang jawatan tinggi dalam kerajaan mahupun syarikat berkaitan kerajaan," katanya.

Justeru, menurut Mukhriz, negara perlu mengambil pengajaran daripada kes penyelewengan sebelum ini yang melibatkan ahli politik ketika melantik ahli politik dalam GLC.

Tajuddin kemudian mencelah dengan mengkritik Mukhriz kerana sekali lagi membangkitkan isu 1MDB, selain membangkitkan dakwaan kekayaan keluarga bekas menteri besar Kedah itu sendiri.

“Saya rasa sedih dengan sikap yang ditunjukkan Yang Berhormat..balik-balik cerita Datuk Najib, 1MDB, Datuk Najib, 1MDB. Orang kata tak ada modal lain dah. Rakyat pun tak boleh terima.

“Ahli keluarga Yang Berhormat pun ada macam-macam cerita. Banyak kalau kita nak cerita...Jadi tak usahlah buat tuduhan seolah-olah menghakimi. Biarlah mahkamah (tentukan kes 1MDB)," katanya yang turut mendakwa Mukhriz menjadi ahli lembaga pengarah dalam banyak syarikat.

“Ini balik-balik macam bapa dia (Dr Mahathir Mohamad) juga. Tak habis-habis,” katanya lagi.

Ketika itu Speaker Azhar Azizan Harun cuba menenangkan keadaan dan meminta Tajuddin agar bertenang dan kembali duduk.

Mukhriz kemudian mencabar Tajuddin untuk membawa dakwaan yang dibuatnya itu ke peringkat mahkamah.

Tajuddin yang juga pengerusi Prasarana Malaysia Bhd mempertahankan dakwaannya dengan berkata beliau mempunyai bukti "gambar" dan senarai syarikat yang berkaitan dengan Mukhriz.

Mukhriz meneruskan perbahasannya mengenai dakwaan pecah amanah sewaktu pentadbiran BN - sekali lagi menjadikan 1MDB sebagai contoh - dengan mendakwa Umno ketika itu seolah-oleh tidak mampu untuk menghalang penyelewengan yang dilakukan pemimpinnya.

Tajuddin bagaimanapun sekali lagi mencelah dan mempersoalkan kenyataan Mukhriz itu.

“Yang Berhormat ada di sini pun sebab Umno. Kalau tak ada Umno anda tidak ada apa-apa. You’re nobody without Umno (Anda bukan sesiapa tanpa Umno).

Mukhriz kemudian membalas: “Kalau I’m nobody you should not fear me.” (Kalau saya bukan sesiapa anda tak perlu takut dengan saya)".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS