Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wan Azizah gesa k'jaan utamakan pembentangan RUU Gangguan Seksual
Diterbitkan:  Jul 22, 2020 5:10 PM
Dikemaskini: 9:10 AM

Bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat (KPWKM) Dr Wan Azizah Wan Ismail meminta penggantinya, Rina Harun untuk mengutamakan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Gangguan Seksual di Dewan Rakyat, yang pada awalnya dijadualkan berlangsung Mac lalu.

Wan Azizah yang juga ahli parlimen Pandan berkata demikian selepas Rina gagal menjelaskan garis masa terperinci untuk rang undang-undang itu dibentangkan dalam jawapan parlimen terakhirnya semalam.

Rina kemudian menjawab pertanyaan lain bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyasarkan untuk membentangkan rang undang-undang itu pada sesi Parlimen ketiga pada akhir tahun.

Kementerian berkenaan telah mengetengahkan undang-undang antigangguan itu ketika kerajaan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH). Ia merupakan antara kandungan dalam manifesto pilihan raya PRU14 gabungan itu.

Pembentangan pada awal tahun ini tidak berlangsung setelah sesi Dewan Rakyat penuh ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19. Ini juga berlaku setelah kejatuhan kerajaan PH.

"Untuk makluman, KPWKM sebelum ini telah menetapkan sidang Mac 2020 yang lalu untuk memperkenalkan RUU Gangguan Seksual yang telah siap merangkumi definisi gangguan seksual yang lebih menyeluruh dan mekanisme pengaduan dan penyelesaian yang lebih efektif, elemen remedi dan penalti serta mengesyorkan piawaian beban pembuktian yang bersesuaian dan adil buat semua pihak yang terbabit.

"Sesi parlimen Mac 2020 telah ditunda disebabkan penularan wabak Covid-19. Oleh itu, saya menggesa KPWKM agar mengutamakan pembentangan RUU ini secepat mungkin kerana ketika ini, kebanyakan mangsa (wanita, lelaki dan kanak-kanak) kes yang berkaitan gangguan seksual tidak mempunyai saluran yang tepat dalam membuat aduan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku," kata Wan Azizah dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Azizah menggesa Rina menjelaskan bila RUU itu akan dibentangkan dan langkah-langkah yang harus diambil untuk memastikan kes-kes sedia ada ditangani dengan baik.

Dalam jawapan bertulisnya, bertarikh semalam, Rina berkata, sementara menunggu pembentangan undang-undang baru itu, kes gangguan seksual akan berada di bawah bidang kuasa berbagai undang-undang dan peraturan yang ada.

Ini termasuk Kanun Keseksaan; Akta Pekerjaan 1955; Fasal 4A Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993; Kod Amalan Pencegahan dan Pembasmian Gangguan Seksual di Tempat Kerja 1999; dan pekeliling perkhidmatan 2018 mengenai Garis Panduan Mengendalikan Kes Gangguan Seksual di Tempat Kerja di Perkhidmatan Awam.

Rina juga menambah bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kini sedang merangkumkan isu gangguan seksual di modul intervensi di tempat kerja untuk digunakan oleh psikologi atau kaunselor yang menangani kes seperti itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS