Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Penjualan aset anak syarikat Tabung Haji akan dinilai semula'
Diterbitkan:  Jul 22, 2020 3:02 PM
Dikemaskini: 7:56 AM

Kerajaan akan menilai semula keputusan pentadbiran PH sebelum ini untuk menjual sejumlah subsidiari TH Plantations Bhd yang merupakan anak syarikat Lembaga Tabung Haji, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary.

Marzuk berkata, dengan penjualan 14 daripada 19 subsidiari TH Plantations, saiz ladangnya akan berkurang daripada 100,976 hektar kepada 24,000 hektar.

Katanya, empat daripada 14 subsidiari itu dijual mencatatkan keuntungan.

"Keputusan untuk menjual ladang-ladang ini telah dibuat semasa harga minyak sawit mentah (CPO) mengalami kejatuhan yang serius, yang mana menyebabkan anak-anak syarikat THP ini mengalami kerugian.

"Kejatuhan harga CPO ini adalah disebabkan oleh tindakan-tindakan kerajaan terdahulu yang tidak menjaga hubungan dagangan dengan China dan India, yang akhirnya menyebabkan eksport sawit kita jatuh mendadak," katanya dalam jawapan bertulis Parlimen hari ini.

Marzuk yang merupakan anggota Parlimen Pengkalan Chepa daripada PAS menjawab soalan Anggota Parlimen Tanjong Karang Noh Omar berkenaan justifikasi penjualan dan keluasan ladang yang telah dijual dan berkenaan pembelinya.

"Setelah kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pemerintahan pada Februari lepas, keyakinan pelabur semakin meningkat dan harga minyak sawit mentah kian pulih disebabkan hubungan dagangan antarabangsa kembali terjalin.

"Justeru Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menilai semula keputusan penjualan ladang secara besar-besaran ini sama ada ia wajar ataupun tidak," kata Marzuk lagi.

Katanya, penjualan itu antara lain melibatkan 70 peratus kepentingan ekuiti dalam THP-YT Plantations Sdn Bhd kepada TDM Berhad, syarikat milik kerajaan Terengganu.

Penjualan melibatkan 2,549 hektar ladang itu dibuat pada harga pasaran dan sedang dimuktamadkan, katanya lagi.

Menurut laporan pada Mac lalu, THP-YT Plantations Snd Bhd dijual pada harga RM7 juta.

Katanya lagi, penjualan Bumi Suria Ventures Sdn Bhd dan Maju Warisan MAS Sdn Bhd - dua lagi subsidiari THP - melibatkan 5,614 hektar ladang kepada Tamaco Plantations Sdn Bhd, yang menurutnya syarikat bukan bumiputera, juga sedang dimuktamadkan.

"Penjualan ini sedang menunggu kelulusan daripada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) sama ada harga jualan tersebut adalah pada harga pasaran ataupun tidak dan sama ada pelupusan tersebut akan memberi impak kepada perancangan jangka panjang dan keuntungan TH Plantation," katanya lagi.

Menurut laporan pada Disember 2019, kedua-dua syarikat yang mencatatkan kerugian itu akan dijual dengan harga RM170 juta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS