Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Aktivis C4 ditahan kerana kritik tangkapan polis semasa PKP

Aktivis Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), K Sudhagaran Stanley ditahan berhubung hantaran di media sosial yang mengecam penahanan polis ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan Sudhagaran disiasat kerana hantaran di Facebook pada 2 April lalu bertajuk ‘Are we turning into a police state during the MCO period” (Adakah kita telah menjadi negara polis dalam tempoh PKP").

Ini bercanggah dengan laporan awal media yang membuat spekulasi bahawa penahanan aktivis berkenaan adalah berkaitan hantaran Facebook mengenai mural gergasi yang diconteng di Shah Alam, yang turut melibatkan mural Yang di-Pertuan Agong.

"Ya (dia ditangkap berhubung hantaran itu), dia direman selama sehari dan dibebaskan dengan ikat jamin.

"Kes itu sudah disiasat tetapi kerana Covid-19, baru sekarang kita meneruskannya," kata Mior ketika dihubungi Malaysiakini.

Sudhagaran, 35, dilaporkan disiasat kerana menghasut, membuat kenyataan yang membawa kepada kemudaratan awam dan menyalahgunakan perkhidmatan Internet.

Dalam hantaran itu, dia mempersoalkan penahahan 24 individu di Pulau Pinang kerana melanggar PKP disebabkan bermain bola sepak di pekarangan kolej mereka.

Mereka kemudian didakwa di bawah Peraturan 3 (2) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan) 2020 dan diperintahkan untuk melakukan kerja-kerja sosial.

Sudhagaran juga mempersoalkan jumlah penahanan yang tinggi dilakukan selama tempoh awal PKP dan mendakwa hak tahanan dinafikan.

Ini selepas kerajaan Perikatan Nasional memperkenalkan PKP pada 18 Mac yang melibatkan sekatan perjalanan dan penutupan semua perkhidmatan dan perniagaan penting berikutan berlakunya wabak Covid-19.

PKP mula dilonggarkan pada bulan Mei dalam usaha membuka semula sektor ekonomi berikutan berkurangnya jumlah kes Covid-19 di negara ini.

Ketika dihubungi, Sudhagaran mengesahkan perkara itu dan mengatakan dia dibebaskan dengan ikat jamin setelah mahkamah membenarkan tahanan reman selama satu hari kepada polis.

NGO terbabit mengecam penahanan itu terutama apabila ia dilakukan pada lewat malam, termasuk menyifatkan penahanan itu sebagai "mengerikan".

C4 berkata penahanan itu "bertujuan menanamkan rasa takut dan membungkam suara yang kritikal terhadap pentadbiran negara ini."

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengkaji semula polisi pihak polis yang didakwanya "membenarkan amalan tidak masuk akal".

Laporan tambahan oleh Alyaa Alhadjri.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS