- Dikemas kini dengan latar belakang kes dan siasatan.
Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng dipanggil ke SPRM untuk siasatan kes terowong dasar laut Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan perkara itu.
“Beliau hadir sebagai saksi berkaitan projek terowong bawah tanah. Beliau akan datang pada jam 1 tengah hari,” katanya.
Pada 30 Jun lalu SPRM menahan bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) bagi membantu siasatan terhadap elemen rasuah dalam projek terowong itu selain memanggil beberapa lagi saksi untuk direkod percakapan.
Julai lalu, SPRM berkata kertas siasatan bagi kes bernilai RM6.3 bilion itu sudah berada di peringkat akhir dan hanya memerlukan dua atau tiga minggu lalu sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
SPRM telah menyoal siasat beberapa pegawai kerajaan negeri, termasuk ketua menteri Chow Kon Yeow dan exco-exconya.
Bekas pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Jeffrey Chew pada 1 Julai lalu direman empat hari bagi membantu siasatan itu.
Ketika projek itu dirancang pada 2011 dan 2012, Lim bertugas sebagai ketua menteri dan Chew pula menjadi pegawai khasnya.
Tahun lalu dilaporkan enam kertas siasatan dibuka dalam kes itu - satu pada Julai 2017 dan selebihnya lima pada Januari 2018.