Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengusaha restoran, kedai makan dilema depani pelanggan degil

Pengusaha restoran dan peniaga menganggap mereka tidak mempunyai banyak pilihan apabila berdepan dengan pelanggan yang enggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menurut Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) T Muthusamy, berdepan dengan kerenah pelanggan bukan satu perkara yang mudah untuk pemilik restoran.

Malah, katanya, kadang-kadang mereka terpaksa mengalah bagi mengelakkan pergaduhan dengan pelanggan.

“Sebagai seorang pemilik perniagaan, mengendalikan pelanggan adalah perkara yang sensitif.

“Walaupun pemilik restoran tidak berkenan (dengan tindakan pelanggannya), saya boleh katakan dalam situasi tertentu mengendalikan pelanggan adalah sangat sensitif dan perlu berhati-hati. Jadi tiada pilihan.

"Tapi saya perlu nasihatkan pengusaha restoran dan perniagaan supaya berhati-hati, sama ada pelanggan menunjukkan sebarang gejala (Covid-19) atau tidak… di pihak kita, kita perlu jalankan tugas,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam orang ramai digemparkan dengan sekeping gambar wanita yang dipercayai melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah sedang menikmati hidangan di sebuah kedai makan.

SOP sekarang sudah memadai

Gambar itu tular di media sosial dan turut menarik perhatian Penasihat Khas Perdana, Dr Jemilah Mahmood, yang terkilan dengan tindakan wanita terbabit kerana dianggap boleh menyumbang kepada gelombang baru Covid-19.

Gambar itu didakwa dirakamkan di sebuah kafe di Bandar Meru Jaya di Ipoh, Perak. Wanita terbabit dilihat jelas mempunyai gelang berwarna merah jambu pada tangan kanannya, yang menandakan dia masih di bawah kuarantin Covid-19.

T Muthusamy

Susulan penularan gambar berkenaan, pemilik kafe terbabit tampil membuat kenyataan di Facebook bagi menepis dakwaan bahawa premis tersebut gagal melakukan tapisan ke atas pelanggan.

Menurut Muthusamy, pada pandangannya SOP yang ditetapkan oleh kerajaan - seperti merekodkan butiran pelanggan dan kawalan penjarakan sosial - untuk pengusaha restoran ketika ini memadai.

Bagaimanapun, beliau melihat aspek pematuhan yang sekarang menjadi isu. Justeru Muthusamy menggesa supaya pelanggan memberikan kerjasama.

“Setakat ini, SOP dah OK. Sekarang pematuhan yang menjadi persoalan.

“Mungkin selepas ini KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) atau pihak berkuasa kena buat arahan atau sampaikan mesej supaya orang ramai lebih peka,” katanya.

Kena ketatkan semula peraturan

Mengulas lanjut mengenai masalah yang dihadapi pengusaha restoran, Muthusamy menjelaskan mereka menghadapi kesukaran menyusun kedudukan pengunjung dengan penjarakan sosial apabila pelanggan hadir secara berkumpulan.

Pada masa sama, beliau turut menekankan supaya pemilik restoran menjaga kebajikan pekerja dari segi kesihatan dan meningkatkan sistem imunisasi mereka.

Pengerusi Persatuan Food Truck Malaysia (Mafta) Mohamad Zaini Md Taha turut sependapat dengan Muthusamy.

Katanya kerajaan perlu mengetatkan semula pematuhan SOP terhadap orang ramai di tempat awam dan meningkatkan rondaan memandangkan orang ramai kini kurang mengendahkan amalan pencegahan seperti memakai pelitup separuh muka dan penjarakan sosial.

Gambar fail

“Sekarang pun orang masuk kedai tak pakai mask (pelitup separuh muka) sebab undang-undang tak tegas dan tak sekeras macam dulu.. patut kena ketatkan balik.

“Ada (pelanggan) yang masuk, mereka buat-buat kering (buat tak tahu) saja. Dia tak periksa suhu badan sebab kerajaan dah tak ketatkan perkara tu,” katanya.

Mengulas mengenai isu foto wanita yang tular itu, Mohamad Zaini mencadangkan supaya kerajaan memberi ganjaran terhadap sesiapa yang boleh melaporkan kesalahan pelanggaran peraturan yang ditetapkan.

Tambahnya, tidak semua pengusaha restoran dan penjaja makanan tahu bahawa individu yang memakai gelang tangan merah jambu merupakan mereka yang baru pulang dari luar negara dan sedang menjalani tempoh kuarantin di rumah.

Gambar fail

“Tauke restoran atau peniaga food truck sendiri pun (kalau ada pelanggan) dengan wristband pink, kita tak boleh marah dia.

“Jadi satu kesalahan (cari pasal) pula nak beremosi dengan dia,” katanya yang turut menggesa kerajaan memainkan peranan terhadap mereka yang sedang menjalani tempoh kuarantin.

Menteri Kanan (Kluster keselamatan) Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata warga asing atau rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan mulai Jumaat ini.

Langkah itu diambil selepas mendapati masih terdapat individu melanggar SOP dan peraturan kuarantin wajib di rumah.

Ismail Sabri berkata mereka yang terbabit perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin di stesen kuarantin sama ada di institut latihan awam atau hotel berdasarkan kos yang telah dipersetujui sebelum ini. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS