Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Tuduhan Top Glove amal buruh paksa 'tak berasas'

Menteri Sumber Manusia M Saravanan menyangkal dakwaan "tidak berasas" amalan buruh paksa yang dibuat terhadap pembuat sarung tangan getah Top Glove, yang membawa kepada arahan sekatan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) ke atas dua subsidiarinya.

Bercakap dengan pemberita di kementeriannya selepas mesyuarat bersama pemain industri sarung tangan getah, Saravanan berkata ia berdasarkan hasil siasatan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) terhadap dakwaan yang dibuat.

"Saya telah mengarahkan JTK untuk menyiasat dan didapati kebanyakan tuduhan tidak berasas.

"Sedikit sebanyak ada kekurangan yang boleh diatasi, dari segi penyediaan perumahan (tempat tinggal pekerja) dan sebagainya, tetapi bukan sepertimana dituduh agensi luar negara," katanya.

Dalam satu kenyataan berasingan, Kementerian Sumber Manusia berkata ibu pejabat Top Glove di Meru, Klang telah diserbu penguatkuasa pada 13 Julai lalu tetapi syarikat itu didapati tidak mengamalkan buruh paksa.

Menurut kenyataan itu, susulan serbuan itu, Top Glove telah dikenakan denda oleh Kementerian Kesihatan dan menerima notis pematuhan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Bagaimanapun tiada yang menunjukkan ada unsur-unsur buruh paksa," katanya.

Saravanan berkata lagi, kementeriannya termasuk beliau sendiri akan mengadakan lawatan ke kilang Top Glove dan wakil kedutaan Amerika Syarikat juga akan dijemput untuk menyertainya.

"Ini supaya kita bersama-sama lihat dan buktikan tuduhan ini tidak berasas.

"Jika ada apa-apa kekurangan dalam industri Malaysia, saya harap agensi luar negara jangan campur tangan secara terus.

"(Mereka) sepatutnya berhubung dengan kementerian berkenaan dan meminta penjelasan sebelum mengambil sebarang tindakan," katanya lagi.

Minggu lalu, CBP menguatkuasakan arahan sekatan terhadap dua subsidiari Top Glove, iaitu Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd.

ABC News Australia semalam memetik jurucakap CBP sebagai berkata, keputusan itu "berdasarkan bukti wajar berhubung amalan buruh paksa dalam proses pembuatan".

"Bukti menunjukkan sejumlah penunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berkenaan buruh paksa, termasuk ikatan hutang, kerja lebih masa keterlaluan, penahanan dokumen pengenalan diri, serta keadaan tempat tinggal dan kerja yang teruk," katanya seperti dipetik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS