Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rayuan ditolak, kontraktor bunuh peniaga ke tali gantung

Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas bekas kontraktor sebuah syarikat minyak dan gas kerana membunuh seorang peniaga berusia 55 tahun yang ditemukan dengan beberapa tikaman tujuh tahun lepas.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim P Nallini dalam keputusan sebulat suara bersetuju dengan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan yang menyabitkan kesalahan Yusof Saruan, 49, kerana kesalahan itu adalah betul dan selamat, dan menolak rayuannya.

Yusof didakwa membunuh Oh Son Liong di stesen jana kuasa Power Tek di Telok Gong, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka, antara 2.30 petang dan 10 malam pada 31 Julai 2013.

Hakim Nallini, yang bersidang bersama Hakim Vernon Ong Lam Kiat dan Zaleha Yusof, berkata panel itu berpandangan bahawa perkataan yang diucapkan oleh Oh tidak mencukupi untuk menimbulkan provokasi yang serius.

“Selanjutnya, kelakuan perayu (Yusof) adalah tidak seimbang seperti yang dinyatakan oleh Mahkamah Rayuan,” katanya.

Hakim Nallini berkata kecederaan yang dialami Oh adalah kejam dan mengerikan, kerana terdapat banyak luka tikaman dan usus mangsa ditemukan di luar badan.

Ini jelas sudah memadai seperti keterangan ahli patologi sebagai pembunuhan, tambah beliau.

Hakim Nallini berkata panel juga berpendapat bahawa pembelaan automatisme tidak dibuat berdasarkan bukti yang direkodkan kerana perayu secara mental sedar semasa insiden itu.

“Ini berdasarkan kelakuannya sebelum dan selepas kejadian itu, antaranya mengambil pisau bersamanya ke tempat insiden, serta turut melakukan rompakan ke atas barangan si mati selepas kejadian itu,” tambah beliau.

Dalam keadaan ini, beliau berkata panel itu berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan.

“Oleh itu kami mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan dan rayuan ini ditolak,” katanya.

Mahkamah Tinggi sebelum ini mengurangkan pertuduhan membunuh terhadap Yusof kepada pertuduhan membunuh tanpa niat di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dan dihukum penjara selama 25 tahun.

Berikutan rayuan pihak pendakwaan, Mahkamah Rayuan mengembalikan pertuduhan membunuh dan dia didapati bersalah. Yusof kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Fakta kes menunjukkan Oh pergi bertemu Yusof untuk mengutip hutang dan tertuduh kemudian mendakwa si mati telah menggunakan perkataan yang kasar dan rasis terhadapnya.

Peguam Sukhaimi Mashud mewakili Yusof, manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar mewakili pihak pendakwaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS