Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kurantin di rumah, 63 tak dapat dikesan untuk ujian kedua Covid-19

Seramai 63 individu yang sepatutnya menjalani ujian Covid-19 kali kedua sebagai mengakhiri perintah kuarantin di rumah, tidak dapat dikesan, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pada sidang media hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM akan menggunakan kepakaran polis untuk mengesan individu terbabit.

“Apa yang KKM akan laksanakan adalah bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu untuk mereka yang berkuarantin di rumah.

“Polis akan jalankan pemantauan, akan ke rumah (mereka), sama ada mereka patuh pada SOP atau tidak.

“Dan kepada 63 individu ini (yang tak dapat dikesan), kita akan mengesan mereka iaitu menggunakan kepakaran pihak polis,” katanya.

Bermula 10 Jun, kerajaan telah melonggarkan sekatan dengan melaksanakan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Menerusi perintah itu, mereka yang baru pulang dari luar negara tidak lagi perlu menjalani kuarantin di pusat yang disediakan kerajaan, sebaliknya dibenarkan untuk menjalaninya di runah.

Mereka perlu mengikut garis panduan yang disediakan termasuk menjalani ujian kedua Covid-19 pada hari ke-13.

Bagaimanapun, pada 29 Jun lalu Noor Hisham menyatakan seramai 1,472 individu gagal hadir untuk menjalaninya.

Pada 11 Julai pula, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata polis telah berjaya mengesan 532 orang yang tidak berbuat demikian.

'Akibat tak ikut garis panduan'

Noor Hisham ditanya sama ada kerajaan akan mempertimbang untuk menggunakan gelang pintar bgi mengesan mereka yang menjalani kuarantin, seperti yang dilaksanakan beberapa negara.

Katanya, ia akan dipertimbangkan tetapi langkah itu memerlukan kos yang tinggi.

"Pada masa ini kita guna aplikasi MySejahtera yang juga memberikan maklumat seperti itu," katanya lagi.

Beliau turut berkata eputusan kerajaan untuk mengembalikan perintah kuarantin di pusat kuarantin kerajaan adalah disebabkan mereka yang melanggar peraturan dan tidak patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

Bermula Jumaat ini, mereka yang pulang dari luar negara akan ditempatkan di pusat kuarantin kerajaan.

Katanya, arahan itu untuk mereka yang baru tiba bermula Jumaat ini dan mereka yang sedang menjalani kuarantin di rumah boleh terus berbuat demikian.

Noor Hisham juga menyuarakan kekecewaannya terhadap sikap tidak bertanggungjawab mereka yang melanggar garis panduan Kementerian Kesihatan.

Jangkitan melibatkan mereka yang diarahkan menjalani kuarantin di rumah tidak akan berlaku jika SOP dipatuhi, katanya.

"Kerana (mereka) tak kekal dalam bilik, jadi berlaku jangkitan. Sekarang kita perlu lihat kaedah lain iaitu (agar mereka yang baru pulang dari luar negara) dikuarantin di pusat kuarantin kerajaan," katanya lagi.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS