PARLIMEN | Bilangan individu yang hilang pekerjaan meningkat dua kali ganda setiap bulan sejak penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Berdasarkan jawapan bertulis di Parlimen oleh Kementerian Sumber Manusia, seramai 1,791 orang hilang kerja pada Mac, dan angka ini meningkat lebih dua kali ganda kepada 4,127 orang pada April.
Angka itu meningkat lagi dua kali ganda pada Mei apabila 7,195 orang hilang pekerjaaan, dan meningkat lagi dua kali ganda pada Jun dengan 19,352 hilang pekerjaan.
Jawapan bertulis itu bagi menjawab soalan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang bertanya Menteri Sumber Manusia M Saravanan mengenai anggaran bilangan pekerja yang hilang pekerjaan akibat wabak Covid-19 dan strategi kerajaan bagi menangani pengangguran.
Kementerian itu berkata, setakat ini, seramai 36,196 orang di bawah 1,377 majikan telah hilang pekerjaan mereka.
“Pemberhentian tetap (permanent retrenchment) melibatkan seramai 28,779 orang pekerja manakala seramai 7,417 orang pemberhentian secara pemberhentian sukarela (VSS),” katanya.
Tambah kementerian, pemberhentian pekerja adalah di bawah prerogatif majikan, tetapi mereka masih perlu mengikut garis panduan disediakan kerajaan.
Antaranya, pemberhentian kerja sebagai langkah akhir selepas majikan membuat pengurangan gaji, menyekat pengambilan pekerja baru, mengehadkan kerja lebih masa, mengurangkan waktu kerja, atau melakukan pemberhentian kerja sementara.
“Jika pemberhentian pekerjaan tidak dapat dielakkan, majikan hendaklah terlebih dahulu menamatkan pekerja warga asing sebelum mempertimbangkan pekerja tempatan,” katanya lagi.
Bagaimanapun, dalam jawapan berasingan terhadap soalan Abdullah Sani (PKR- Kapar), kementerian tersebut memberitahu angka itu mungkin lebih tinggi.
Ini kerana bilangan individu yang mendaftar kehilangan pekerjaan tahun ini di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) adalah seramai 50,825 orang setakat 1 Julai.
Ia berkata SIP telah membayar RM107.8 juta kepada 66,204 penuntut setakat 26 Jun, lebih tinggi daripada jumlah RM107.6 juta yang dituntut oleh 66,650 orang sepanjang tahun lalu.
Tambahnya lagi, jumlah kutipan caruman SIP pada setakat April adalah RM 225.4 juta, manakala jumlah kutipan untuk sepanjang tahun 2019 adalah sebanyak RM651.6 juta.
Pekerja menyumbang sebanyak 0.2 peratus daripada gaji mereka sehingga RM7.90 sebulan ke tabung SIP, dan majikan juga perlu menyumbang jumlah setara.
Pekerja yang kehilangan pekerjaan boleh menuntut daripada tabung itu untuk menerima bantuan sehingga enam bulan.
Mereka akan mendapat 80 peratus daripada gaji terakhir mereka yang dihadkan setakat RM4,000, iaitu maksimum RM3,200.
Seterusnya, mereka akan menerima 50 peratus daripada gaji pada bulan kedua, 40 peratus pada bulan ketiga dan keempat serta 30 peratus pada bulan kelima dan keenam.