Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siasatan ke atas Al Jazeera: Australia bantu warganya
Diterbitkan:  Jul 21, 2020 11:57 AM
Dikemaskini: 5:25 AM

Jabatan Luar Negeri dan Perdagangan Australia (DFAT) menyediakan bantuan kepada beberapa warganya di Kuala Lumpur selaras dengan Piagam Perkhidmatan Konsular negara itu.

Dalam e-mel kepada Malaysiakini, jurucakap DFAT menjawab pertanyaan mengenai maklum balas Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur berhubung siasatan terhadap lima kakitangan Al Jazeera.

Ia berkaitan program dokumentari "101 East" yang memaparkan dakwaan penganiayaan terhadap pendatang asing tanpa dokumen yang sah oleh pihak berkuasa Malaysia semasa perintah kawalan pergerakan.

"Oleh kerana tanggungjawab privasi kami, kami tidak akan memberikan komen lebih lanjut," kata jurucakap DFAT.

Perikatan Media, Hiburan dan Kesenian (MEAA) yang berpusat di Sydney sebelum ini mengenal pasti lima daripada enam kakitangan media berkenaan yang dipanggil ke Bukit Aman untuk disoal siasat pada 10 Julai lalu merupakan warganegara Australia.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dalam sidang media pada hari yang sama menjelaskan bahawa mereka hanya dipanggil sebagai saksi dalam siasatan yang sedang dijalankan.

Berdasarkan Piagam Perkhidmatan Konsular Australia, sekiranya berlaku penahanan, ia tidak memiliki kuasa untuk campur tangan dalam proses perundangan negara lain, mengeluarkan seseorang daripada penjara atau tahanan, atau memberikan nasihat undang-undang.

Akan tetapi ia boleh mengatur lawatan untuk memeriksa keadaan warga Australia yang ditangkap atau ditahan dan mengambil langkah untuk memastikan layanan saksama di bawah undang-undang di negara terbabit.

Pengurusan Al-Jazeera mempertahankan dokumentari selama 25 minit itu, meskipun ia mendapat pelbagai kritikan daripada netizen dan pemimpin kerajaan negara ini. 

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob sebelum ini menafikan kanak-kanak di bawah umur digari ketika dalam tahanan imigresen seperti yang didakwa dalam dokumentari berkenaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah pula berkata, kementeriannya melalui Jabatan Penerangan akan menyemak pas akreditasi Al-Jazeera yang membabitkan kebenaran untuk media antarabangsa itu beroperasi  di negara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS