mk-logo
Berita
Guan Eng cadangkan Shafie sebagai calon PM, kata Dr M
Diterbitkan:  Jul 21, 2020 10:02 AM
Dikemaskini: 2:02 AM

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng adalah individu yang mencadangkan agar Shafie Apdal dipilih sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH), kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Lim Guan Eng yang cadang Shafie jadi calon perdana menteri kami.

“Tetapi malangnya, walaupun cadangan itu datang daripada beliau, Lim kemudian patah balik dan kata calonnya Anwar Ibrahim.

“Saya awalnya tanya mereka adakah mereka benar-benar mahu Shafie dan mereka kata ya. Tetapi selepas mereka jumpa Anwar, mereka tukar,” katanya lapor The Malaysian Insight.

Cadangan mencalonkan Shafie, yang merupakan presiden Warisan, sebagai perdana menteri PH timbul bulan lalu selepas PKR bertegas menolak Mahathir sebagai calon.

Parti itu menegaskan bahawa Anwar harus menjadi calon perdana menteri PH.

Mahathir mengumumkan pada 27 Jun bahawa parti komponen PH - DAP dan Amanah menyokong Shafie sebagai calon perdana menteri.

Bagaimanapun, DAP dan Amanah kemudian membuat kenyataan bersama bahawa mereka akan menyerahkan perkara itu untuk diputuskan di peringkat gabungan PH.

Susulan daripada mesyuarat majlis presiden PH pada 5 Julai, gabungan itu berkata ia berpegang teguh kepada keputusan sebelum ini untuk menjadikan Anwar sebagai calon perdana menteri.

Shafie juga sebelumnya mengatakan bahawa DAP dan Amanah telah menamakan beliau sebagai calon perdana menteri.

Mahathir menjelaskan beliau tidak kisah jika PH tidak memilihnya untuk menjadi calon perdana menteri mereka, tetapi menyuarakan kebimbangan sama ada Anwar dapatmemperoleh sokongan yang cukup sebagai calon perdana menteri.

Beliau juga mendakwa walaupun terdapat beberapa anggota Parlimen yang bersedia menyertai pembangkang, mereka tidak akan melakukannya sekiranya Anwar adalah calon perdana menteri.

Isu inilah yang menyebabkan beliau menyokong Shafie sebagai calon perdana menteri, kata Mahathir.

“Jika kita tidak dapat sokongan orang Melayu, kita tidak boleh tukar kerajaan. Tetapi pada masa sama, kita berdepan masalah kerana Anwar tidak mahu saya.

“Dan walaupun Anwar kata dia ada sokongan majoriti, setiap kali nama dia timbul, dia kalah,” katanya.

'Saya kalah, Anwar juga kalah'

Mahathir juga berkata kerajaan PH tidak akan tumbang pada Februari lalu sekiranya beliau diberikan sokongan yang penuh daripada gabungan tersebut ketika itu.

“Bila saya letak jawatan pada Februari dan semua orang diminta menyatakan siapa yang mereka mahu, saya sepatutnya diberikan sokongan penuh oleh PH kerana mereka kata mereka sokong saya sepenuhnya.

“Tetapi entah bagaimana Anwar meyakinkan mereka dia ada majoriti dan sokongan mencukupi untuk jadi perdana menteri. Jadi PH beri nama beliau.

“Saya hanya dapat 66 undi dan Anwar dapat 92.

“Tetapi 92 undi itu sepatutnya diberikan kepada saya kerana saya sepatutnya calon mereka dan saya juga perdana menteri sebelum ini. Oleh itu, saya kalah dan Anwar juga kalah,” kata Dr Mahathir.

Sementara itu, Mahathir juga berkata Shafie merupakan pilihan yang “positif” untuk calon perdana menteri PH, memandangkan Sabah dan Sarawak telah banyak memberi sumbangan terhadap kerajaan.

“Ia sangat positif kerana Sabah dan Sarawak memberi banyak sumbangan kepada kerajaan.

“Dua negeri itu ditadbir oleh orang mereka sendiri dan melakukannya dengan sangat baik. Walaupun peringkat nasional adalah kerja lebih besar, kerajaan itu berpengalaman.

“Jadi walaupun kita ada pemimpin baharu, pentadbir berpengalaman akan sokong beliau,” katanya.

Ditanya adakah kaum Melayu di Semenanjung akan dapat menerima Shafie, Mahathir berkata ia perlu diuji dahulu

Beliau berkata Shafie mengahwini seorang wanita Melayu dari Kedah dan anak-anaknya juga berkahwin dengan pasangan dari Semenanjung.

Di samping itu, Mahathir berkata Shafie juga pernah berada dalam kerajaan persekutuan. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS