mk-logo
Berita
PM sebut angka salah dalam ucapan, kata bekas menteri
Diterbitkan:  Jul 21, 2020 8:21 AM
Dikemaskini: 12:21 AM

Bekas menteri pengangkutan Anthony Loke mendakwa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah menyebut angka yang salah pada beberapa bahagian perutusannya di televisyen semalam.

Pada hantaran di Facebook, Loke berkata ucapan perdana menteri yang disiarkan di televisyen adalah suatu perkara serius, justeru fakta dan angka yang diberikan mestilah tepat serta tidak akan mengelirukan orang ramai.

"Saya tak pasti sama ada pegawai Kementerian Pengangkutan yang memberikan angka yang salah kepada Pejabat Perdana Menteri, namun pegawai-pegawai PMO seharusnya menyemak betul-betul sebelum YAB Perdana Menteri menyampaikan ucapan secara langsung.

"Saya harap PMO akan memperbetulkan fakta tersebut dan tidak mengulangi kesilapan fakta seperti ini," katanya malam tadi.

Loke merujuk perenggan ketujuh dalam teks pidato Muhyiddin mengenai situasi Covid-19 di negara itu, yang disampaikannya melalui televisyen pada jam 4 petang semalam.

Dalam bahagian ucapan itu, Muhyiddin menyorot beberapa bantuan yang disampaikan melalui pakej rangsangan ekonomi kerajaan, termasuk elaun untuk pemandu pelbagai bentuk pengangkutan awam.

"Sehingga hari ini, sejumlah RM11.4 bilion telah disalurkan kepada 10.4 juta penerima Bantuan Prihatin Nasonal.

"1.4 juta pemandu e-hailing telah menerima elaun tunai RM500 dengan jumlah keseluruhan RM34 juta.

"Seramai 477,000 pemandu teksi, pemandu pelancong dan pemandu bas telah menerima elaun tunai RM600 dengan jumlah keseluruhan RM28.8 juta," kata Muhyiddin semalam.

Bagaimanapun, Loke menunjukkan bahawa jumlah pemandu e-hailing yang berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat hanya sekitar 120,000, bukan 1.4 juta.

Sekiranya 1.4 juta pemandu dibayar RM500 setiap seorang, maka jumlah yang diperlukan adalah RM700 juta, bukan hanya RM34 juta, katanya.

"Saya rasa angka yang lebih tepat ialah RM34 juta telah dibayar dan kalau dibahagikan dengan RM500, jumlah penerima ialah 68 ribu orang, jauh beza dengan 1.4 juta orang," jelasnya.

Loke juga berkata jika 477,000 pemandu teksi, bas dan pemandu pelancong dibayar RM600 setiap seorang, jumlah keseluruhannya adalah RM286.2 juta dan bukan RM28.8 juta.

"Kalau setakat RM28.8 juta telah dibayar untuk RM600 seorang, jumlah penerima hanyalah 48 ribu orang, Bukan 477,000. Itu perbezaan 10 kali ganda," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS